Source:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/lelaki-didakwa-agong-nusantara-1.182692
Mungkin pelik, mungkin aneh atau katalah apa sahaja tetapi inilah hakikatnya apabila seorang lelaki yang asalnya hanya seorang pengamal perubatan tradisional boleh mengisytiharkan dirinya sebagai 'Duli Yang Mulia Sri Sultan Notobroto Nusantara 1’.
Lebih menarik, dia juga dikatakan diangkat sebagai 'Agong Nusantara’ oleh sultan-sultan di Indonesia. Kedudukan itu membolehkan lelaki tersebut menganugerahkan pelbagai darjah dan pingat termasuk membawa gelaran 'Datuk’ dan 'Datuk Seri’.
Siapakah lelaki tersebut dan apakah modus operandimya? Dalam laporan khas kali ini wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR memaparkan 'tembelang’ lelaki berkenaan.
KUALA LUMPUR 23 Jan. - Seorang individu rakyat Malaysia mendakwa dirinya sebagai 'Agong Nusantara' telah menyampaikan anugerah pingat dan darjah kebesaran kepada beratus-ratus rakyat negara ini di Indonesia.
Situasi ini mungkin dilihat aneh dan melucukan, tetapi itulah yang dilakukan seorang individu yang suatu ketika dahulu hanya seorang pengamal perubatan tradisional dan secara tiba-tiba muncul menggelarkan dirinya sebagai 'Duli Yang Maha Mulia Sri Sultan Notobroto Nusantara manakala isterinya pula, Kanjeng Sri Ratu Notobroto.
Gelaran itu dikatakan digunakan sejak 2011 yang mendapat kecaman pelbagai pihak dalam laman-laman sosial.
Apa yang mengejutkan, satu sumber mendakwa, lelaki tersebut kononnya telah disepakati secara bersama bertaraf 'Yang Dipertuan Agong dari Indonesia' oleh sultan-sultan di negara itu dan berasal daripada keturunan Sultan Demak.
Siasatan Mingguan Malaysia mendapati sejak 2012, lelaki yang berasal dari Johor itu telah mengurniakan pingat dan darjah kebesaran yang membawa pelbagai gelaran termasuklah 'Datuk' dan 'Datuk Seri' kepada beratus-ratus individu dari Malaysia.
Selain itu, 'Sri Sultan Notobroto' juga menganugerahkan darjah yang membawa gelaran 'Raden Kajeng' kepada beberapa individu khususnya orang kenamaan.
Satu sumber mendakwa, lelaki tersebut yang kini menetap di sebuah negeri di selatan tanah air, dijadualkan menyampaikan pingat yang membawa gelaran 'Datuk' kepada enam individu pada Mac ini di Indonesia.
Sambil mendakwa segalanya boleh diuruskan, sumber itu berkata, 'Sri Sultan Notobroto' akan mengurniakan darjah tersebut dengan bayaran tertentu mengikut darjah atau pingat yang dianugerahkan.
Beliau yang ditemui di lokasi yang dirahsiakan berkata, terdapat tiga pingat dianugerahkan oleh lelaki tersebut yang majlisnya diadakan di Indonesia.
''Untuk pingat membawa gelaran Datuk harganya kira-kira RM35,000, Dato' (RM45,000) manakala Dato' Sri RM95,000 hingga RM100,000. Semua bayaran itu merangkumi segala kemudahan dan kelengkapan termasuk pengangkutan dan pakaian bagi menghadiri majlis penganugerahan,'' dakwa sumber tersebut.
Sumber itu mendakwa, kebiasaannya majlis penganugerahan akan diadakan dua tahun sekali iaitu pada Februari dan Oktober.
''Penerima harus membayar separuh daripada keseluruhan bayaran bagi urusan 'dokumentasi' manakala bayaran penuh dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sebelum penyampaian pingat dibuat,'' dakwanya.
Menjawab satu soalan, sumber tersebut mendakwa, penganugerahan pingat oleh 'Sri Sultan Notobroto Nusantara' itu mempunyai watikah rasmi dan pingat.
''Segala-galanya lengkap. Semuanya direkodkan di dalam sebuah buku, yang paling ramai menerima anugerah daripada 'Sri Sultan' ialah ahli-ahli perniagaan. Mereka begitu inginkan gelaran 'Datuk' atau 'Datuk Seri' bagi meningkatkan imej masing-masing,'' katanya.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
lelaki yang mendakwa dirinya Sri Sultan Notobroto Nusantara (empat dari kanan) turut menggunakan gelaran Mahaguru apabila turut menjadi pengasas sebuah pertubuhan silat.
MUKADIMAH:Percaya atau tidak? Walaupun dijatuhi hukuman penjara pada 2010 dan dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan atas tuduhan menipu, lelaki bergelar ‘Sri Sultan Notobroto Nusantara’ itu masih berjaya memperdaya ramai individu termasuk orang kenamaan.
Malah sejak 2012, lelaki itu terus mengurniakan pingat dan darjah dalam majlis yang diadakan di Indonesia. Dalam bahagian akhir laporan khas ini.
Wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR mendedahkan apa yang sudah dilakukan oleh lelaki tersebut dan di mana dia berada sekarang.
KUALA LUMPUR 24 Jan. Seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘Sri Sultan Notobroto Nusantara’ dan kononnya diangkat sebagai ‘Agong Nusantara’ dengan gelaran ‘Duli Yang Maha Mulia Sri Sultan Raden (...) Notobroto Nusantara Al-Haj’ pernah dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dengan beberapa kes penipuan.
Siasatan Utusan Malaysia turut mendapati lelaki berkenaan kini meringkuk dalam penjara apabila Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun bermula Jun tahun lalu atas kesalahan terlibat kes penipuan pembelian tanah bernilai RM9.3 juta menggunakan nama Menteri Besar Johor, hampir 20 tahun lalu.
Lebih mengejutkan, satu sumber memberitahu, lelaki berusia 50-an yang mendakwa berasal daripada keturunan kesultanan Nusantara itu turut menjalankan penganugerahan pingat pada 2012, 2013 dan 2014 di Indonesia walaupun Mahkamah Sesyen telah mensabitkan hukuman penjara terbabit pada 2010.
“Lelaki ini banyak terlibat dengan pelbagai kes penipuan sejak tahun 80-an dengan menawarkan perkhidmatan perubatan tradisional atau lebih spesifik menjalankan pembedahan secara batin di bawah nama Pusat Rawatan Keraton.
“Ketika mengusahakan pusat rawatan tersebut dia menggunakan gelaran lain dan dikenali sebagai Prof. Dato’ Dr. Raden (...) Al-Haj, malah pada 2010 dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen kerana menjalankan operasi pusat jagaan kesihatan swasta tanpa lesen,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Lelaki itu yang asalnya penjual ubat tradisional di kaki lima turut mendakwa berketurunan Wali Sembilan selain mengasaskan sebuah persatuan silat dengan menggunakan gelaran ‘Mahaguru’.
Di samping itu, perbuatan lelaki yang berkelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) itu memperdaya orang ramai dalam pelbagai kes penipuan khususnya berkaitan rawatan tradisional turut tersebar dalam laman sosial.
Sementara itu, seorang anak mangsa penipuan lelaki tersebut turut mendedahkan bagaimana ibunya yang menghidap penyakit kanser terpedaya untuk mendapatkan rawatan secara pembedahan batin dengan harapan dapat membuang tumor kanser.
Menurutnya, lelaki terbabit telah mengarahkan mangsa baring sebelum meletakkan perut palsu di atas perut pesakit berkenaan dan mendakwa membedah pesakitnya secara langsung.
“Sedangkan dia (lelaki terbabit) telah cipta perut palsu dan memanggil kakitangannya untuk merakam proses pembedahan itu,” jelas seorang mangsa yang turut dikenakan bayaran RM3,000 bagi pembedahan berkenaan.
.