Source: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090626071414/Article/index_html (26th June 2009)
Taser X26 senjata ‘mesra nyawa’ ?!
KUALA LUMPUR: Taser X26 yang bakal digunakan Polis Diraja Malaysia tidak lama lagi. Selepas sekian lama menggunakan senjata pistol diisi peluru hidup, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) beralih kepada dimensi baru apabila bakal memperkenalkan senjata baru dikenali Taser X26 berkuasa renjatan elektrik bagi melumpuhkan penjenayah serta-merta.Senjata baru berkenaan yang dianggap ‘mesra nyawa’ menjadi pilihan PDRM berikutan ia dianggap praktikal untuk menundukkan penjenayah kurang berbahaya tanpa mendatangkan kecederaan serius atau kesan kesakitan jangka panjang. Difahamkan, senjata Taser X26 yang digunakan polis Amerika Syarikat dan kebanyakan pihak berkuasa di Eropah menjadi pilihan PDRM baru-baru ini dan bakal dibekalkan kepada anggota polis di setiap kontinjen bagi rondaan cegah jenayah tidak lama lagi. Berdasarkan maklumat sebanyak 210 unit senjata Taser X26 sudah dibeli PDRM menerusi syarikat ejen pengedaran PDT Ventures beribu pejabat di ibu kota.
Komen:
Memang betul polis di negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Australia, dan sebagainya, menggunakan senjata Taser. Tetapi perlu diingat bahawa di negara maju tersebut, kereta polis sentiasa dilengkapi dengan kamera (yang dipasang dalam kereta peronda). Kamera ini penting supaya polis tidak menyalahgunakan kuasa mereka dengan menggunakan senjata Taser tersebut sesuka hati.
Bayangkan kalau polis 'sentiasa merasakan' yang orang yang mereka hendak berkas itu 'susah' (atau berbahaya). Dan perlu ingat, setiap orang yang diberkas polis tidak semestinya bersalah (atau dianggap sebagai penjenayah) sehinggalah mereka dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Justeru itu, polis tidak boleh mengganggap mereka yang diberkas (polis) itu penjenayah atau orang berbahaya. Orang itu mungkin mereka yang 'tersalah' diberkas oleh polis.
Persoalan saya ialah, kalau polis menyalahgunakan kuasa mereka dan menggunakan senjata Taser setiap kali hendak memberkas orang ramai, siapa yang akan memantau keadaan mereka tersebut? Senjata Taser ini syok digunakan, senang digunakan, sebab itulah penyalahgunaannya juga tinggi (dengan senjata hidup pula, polis tidak boleh sesuka hati tembak orang ramai, sebab itulah penyalahgunaannya juga mudah dikesan).. Saya memang tidak syor PDRM menggunakan senjata Taser! NGOs perlu menyuarakan pendapat mereka!