(26 Nov 2011)
ASP dipenjara, denda RM105,000
KUALA LUMPUR 25 Nov. - ''Ini pengadilan di dunia, saya membuat keputusan berdasarkan keterangan saksi dan bukti-bukti, jika keputusan saya ini betul terimalah ia sebagai kafarah (pelebur dosa) kepada kamu di akhirat nanti.''
Demikian kata-kata seorang hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini sebelum menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM105,000 ke atas seorang pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan Polis (ASP) yang didapati bersalah atas dua tuduhan rasuah melibatkan RM21,000, tiga tahun lalu.
Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian terhadap Abd. Jalil Johari yang bertugas sebagai pegawai pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada waktu kejadian, selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Beliau juga menyatakan bahawa keterangan pembelaan tertuduh tiada merit dan tidak berasas.
Bagi tuduhan pertama, Abd. Jalil didakwa bersetuju menerima suapan RM6,000 daripada Rio Kamal sebagai dorongan untuk membantu menarik balik ketiga-tiga tuduhan melibatkan kesalahan dadah yang dihadapi oleh anak ahli perniagaan tersebut, Rio Elani.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 11.30 malam, 1 April 2008 di Tingkat 1, Gallery Lounge Hotel Dynasty, Jalan Ipoh, di sini.
Dia juga menghadapi tuduhan kedua iaitu cuba memperoleh wang suapan RM15,000 daripada Rio Kamal bagi tujuan sama pada pukul 9.30 malam, 21 Mac 2008 melalui perbualan telefon antara talian nombor 012-3770890 ke talian nombor 012-6832233.