(31 Dec 2011)
CEO mengaku tidak bersalah
Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my
Shamsubahrin Ismail dituduh menipu dengan memperdayakan Mohamad Salleh Ismail di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 30 Dis. – Ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menipu pengarah syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail membabitkan pemberian cek bernilai RM1.755 juta, bulan lalu.
Shamsubahrin, 45, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Shamsubahrin Ismail Resources Sdn. Bhd. memohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan selesai dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain.
Tertuduh yang beralamat di Bukit Jelutong, Shah Alam didakwa menipu Mohamad Salleh dengan menjanjikan kepada mangsa satu perkhidmatan rundingan dan nasihat yang pada pengetahuan tertuduh tidak benar.
Perbuatan itu bertujuan memperdaya suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu sehingga mendorong mangsa bersetuju membayar wang perkhidmatan tersebut.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini pada pukul 6 petang, 20 November lalu.
Bagi tuduhan kedua, Shamsubahrin didakwa memperdaya Mohamad Salleh sehingga mendorong mangsa menyerahkan cek berjumlah RM1.755 juta kepada tertuduh. Perbuatan itu didakwa dilakukannya di kawasan Solaris Mont Kiara di sini antara 25 November dan 6 Disember lalu.
Kedua-dua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Ketua Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa mencadangkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin dan syarat tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Menurut beliau, jumlah jaminan tersebut adalah munasabah memandangkan pertuduhan terhadap tertuduh melibatkan penyerahan cek bernilai jutaan ringgit.
Bagaimanapun, peguam bela, J. Rao yang mewakili tertuduh memohon jumlah yang lebih rendah berikutan anak guamnya yang menanggung seorang isteri dan empat anak telah memberikan kerjasama kepada pihak SPRM sepanjang siasatan.
Ahmad Zamzani kemudian menetapkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sebagai syarat jaminan sehingga kes selesai.
Beliau turut menetapkan 21 Januari ini untuk sebutan semula kes itu.
Shamsubahrin gagal menjelaskan wang jaminan ekoran kaunter pembayaran telah ditutup menyebabkan tertuduh dihantar ke Penjara Sungai Buloh.
.