(26 April 2011)
Laporan Kematian Sarbani diserah kepada AG
Laporan Kematian Sarbani diserah kepada AG
KUALA LUMPUR 25 April - Polis sudah menyerahkan kertas siasatan kes kematian pegawai kastam, Ahmad Sarbani Mohamed di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu ke pejabat Peguam Negara (AG). Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kertas siasatan tersebut diserahkan pada Jumaat lalu iaitu sebaik sahaja ia selesai dilengkapkan. "Kini terpulanglah kepada AG untuk mengambil tindakan lanjut terhadap kes tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Zulkifli yang enggan mengulas lanjut mengenai kertas siasatan yang sudah siap itu berkata, seperti dimaklumkan sebelum ini, siasatan kes tersebut ditumpukan kepada laporan kematian mengejut. Ahmad Sarbani, 56, yang juga Penolong Pengarah Kastam Selangor ditemui mati di gelanggang badminton tingkat satu pejabat SPRM setelah ditinggalkan bersendirian oleh pegawai suruhanjaya itu. Kes kematian beliau menjadi perhatian kerana SPRM ketika itu giat menjalankan Operasi 3B terhadap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan pelbagai lagi, yang melibatkan kerugian pendapatan negara berbilion ringgit.
-------------------------------------------------------------------------------------
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PegawaiKastammatijatuhbangunanSPRM/Article (6 April 2011)
Pegawai Kastam Mati Jatuh Bangunan SPRM KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kastam yang membantu siasatan kes rasuah membabitkan cukai tidak dibayar, ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane, di sini pagi ini. Mayat beliau ditemui di tingkat bawah bangunan itu pada jam 10.15 pagi. Difahamkan, mangsa yang dibebaskan dengan ikat jamin kelmarin, adalah seorang pegawai kanan Kastam Selangor.
Pengarah Penyiasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, dilaporkan berkata pegawai Kastam berkenaan ke pejabat suruhanjaya itu hari ini untuk menemui pegawai penyiasat. Katanya, pegawai penyiasat meminta pegawai Kastam berkenaan menunggu sementara pergi mengambil fail kes. Bagaimanapun, katanya, apabila kembali semula pegawai penyiasat berkenaan mendapati pegawai Kastam terbabit sudah tiada.