http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_04.htm
(19 June 2011)
Usahawan Beras ditembak Mati Depan Rumah
BUTTERWORTH 18 Jun - Seorang usahawan beras terkenal di sini, maut selepas ditembak sewaktu turun dari kereta untuk membuka pintu pagar rumahnya di Taman Puyu, dekat sini, tengah malam tadi. Mangsa, Ooi Chong Tian, 58, dikatakan baru pulang ke rumahnya selepas keluar minum bersama rakan-rakannya dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu.
Sebaik sahaja mangsa sampai di depan rumah, dua lelaki yang menaiki kereta Proton Wira hitam menghentikan kenderaan mereka sebelum melepaskan dua das tembakan ke arah Chong Tian. Tembakan itu mengenai kepala dan lehernya menyebabkan mangsa rebah sebelum suspek memecut kenderaan dan meninggalkan kawasan berkenaan.
Ahli keluarga mangsa yang mendengar bunyi tembakan itu segera keluar dan mendapati mangsa terbaring di depan rumah sebelum anaknya menghantar mangsa ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapat rawatan kecemasan. Namun begitu mangsa meninggal dunia di hospital kira-kira pukul 5 pagi akibat pendarahan teruk.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian berkenaan dan menjelaskan usaha mengesan suspek sedang dijalankan. Menurutnya, pihak polis masih menyiasat identiti suspek dan juga motif kejadian terbabit dan usaha mengumpul bukti dan maklumat mengenainya sedang dilakukan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.