http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm
[ 29/03/2012 ]
[ 29/03/2012 ]
Tiga
'gadis tiang' didenda RM25
RASAH
28 Mac - Denda maksimum RM25. Itu hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah
Majistret Seremban, dekat sini hari ini ke atas tiga gadis yang terlibat dalam
aksi menari tiang di sebuah pusat hiburan di Nilai pada Sabtu lalu.Ketiga-tiga mereka masing-masing dikenakan denda tersebut setelah mengaku bersalah atas tuduhan berkelakuan kurang sopan dengan berpakaian seksi dan melakukan aksi mengghairahkan.
Faiqah Azizan, 24, Nurul Huda Abdul Rahman, 23, Nooranishah Mohamad Isa, 19, yang masing-masing memakai baju kurung dan bertudung hanya mengangguk kepala tanda mengaku selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menari di atas pentas dengan mengenakan pakaian seksi serta melakukan aksi mengghairahkan selain berkelakuan kurang sopan di tempat hiburan awam.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah pusat hiburan di Putra Nilai, Nilai kira-kira pukul 2.20 pagi, 24 Mac lalu.
Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM25 atau penjara maksimum 14 hari.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohamad Izwan menasihatkan agar tertuduh-tertuduh insaf dan tidak mengulangi perbuatan itu demi menjaga nama baik keluarga masing-masing.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kaiyisah Shukri manakala ketiga-tiga gadis tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri memberkas 32 orang termasuk tiga gadis berkenaan atas pelbagai kesalahan.