Anggota trafik memeriksa dan menahan kenderaan yang dikesan dipandu melebihi had laju dalam operasi had laju di LPT2, Kemaman, Terengganu, semalam. MINGGUAN/AZLAN BAHRUM
KEMAMAN 31 Okt. – Sebanyak 102 saman dengan kebanyakan melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dikeluarkan kepada pengguna Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang dua jam operasi dijalankan oleh pasukan polis trafik Bukit Aman di Kilometer 255.2 dekat Perasing di sini hari ini.
Penemuan terbaharu itu sekali gus menunjukkan peningkatan kes kemalangan maut yang dicatatkan di lebuh raya berkenaan tidak mendatangkan rasa takut kepada pengguna.
Pegawai Penguat Kuasa dan Operasi Trafik Bukit Aman, Deputi Superintenden Mustafa Bakri Salleh berkata, kesalahan yang paling banyak dikesan adalah memandu melebihi had laju 110 kilometer sejam (km/jam).
Lebih memeranjatkan, ada di antara pesalah trafik terbabit dikesan memecut melebihi 165 km/jam.
Katanya, pihaknya turut menyaman pengguna berhubung kesalahan plat kenderaan; lesen dan cukai jalan tamat tempoh diikuti lampu brek belakang yang tidak berfungsi. [ Nota: kesalahan CERMIN GELAP mcm mana? ].
“Mereka ini seolah-olah tidak takut dengan pertambahan kemalangan maut yang telah berlaku dan terus memandu laju di lebuh raya ini. “Ini menunjukkan bahawa punca kemalangan maut di lebuh raya ini bukanlah disebabkan struktur fizikal jalan sebaliknya, sikap pemandu yang melanggar peraturan,” katanya ketika menyertai operasi tersebut di sini.
Yang hadir sama, Pegawai Penguat Kuasa Trafik Lebuh Raya Zon Timur, Asisten Superintenden Mohamad Ramli Khamis dan Pegawai Trafik Lebuh Raya Zon 3, Inspektor Suhaimi Mohamad.
Operasi yang bermula seawal pukul 9 pagi itu turut disertai tujuh pegawai dan 22 anggota trafik Bukit Aman.
Menurut Mustafa Bakri, pihaknya akan terus mengadakan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pengurangan kes kemalangan maut di lebuh raya terbabit.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihati semua pemandu agar tidak memandu laju serta berwaspada terutama ketika hari hujan, selain itu berhentilah di hentian rehat dan rawat (R&R) sekiranya mengantuk.
“Kita juga memandang serius tindakan pemandu lori yang memberhentikan kenderaan mereka di lorong kecemasan dan saya telah mengadakan perbincangan dengan pasukan trafik Pahang dan Terengganu untuk mengambil tindakan saman terhadap pesalah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mustafa Bakri berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kegagalan lampu belakang lori dan treler berfungsi kerana berisiko membahayakan nyawa pengguna lain terutama pada waktu malam.
[Nota: Pemandu lori TIDAK sepatutnya memberhentikan kenderaan mereka dan berehat di lorong kecemasan utk berehat atau tidur. Mereka perlu berehat di R&R atau tempat yang disediakan. Ini penting supaya kemalangan dapat dielakkan].
[Nota: Pemandu lori TIDAK sepatutnya memberhentikan kenderaan mereka dan berehat di lorong kecemasan utk berehat atau tidur. Mereka perlu berehat di R&R atau tempat yang disediakan. Ini penting supaya kemalangan dapat dielakkan].
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/lpt2-102-saman-tempoh-2-jam-1.152845