Source:
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/rm53-juta-terbang-ke-nigeria-1.163391
RM53 juta ‘terbang’ ke Nigeria
Ditipu sindiket ‘Love Scam’
KUALA LUMPUR 28 Nov. - Sindiket penipuan ‘Love Scam’ yang didalangi warga Nigeria ‘menerbangkan’ wang tunai berjumlah lebih RM53 juta ke Nigeria tanpa sebarang kawalan, pada tahun ini sahaja.
ROSLAN ABD. WAHID
Nilai wang tunai yang besar itu dikutip setelah ribuan mangsa khususnya wanita diperdayakan dengan mudah oleh sindiket berkenaan yang menyamar sebagai lelaki berperwatakan menarik di laman-laman sosial.
Difahamkan setiap kali transaksi penghantaran wang tunai oleh sindiket adalah tidak kurang RM3,000 dan kebanyakan proses itu dilaksanakan melalui syarikat kiriman wang, Western Union.
Mengulas tentang perkara itu, Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid mengakui, negara masih dibelenggu dengan jenayah penipuan ‘Love Scam’ yang tidak berkesudahan sejak sekian lama.
“Pada tahun ini sahaja, pihak kami mengesan sejumlah RM53 juta wang tunai milik mangsa keluar dari negara ini ke Nigeria dan itu menunjukkan bilangan mangsa yang terpedaya adalah begitu ramai. Kebanyakannya adalah rakyat Malaysia dan sebilangannya dari luar negara.
“Jumlah itu terlalu banyak kerana setiap mereka yang tertipu adalah kurang RM5,000 malah ada yang mencecah jutaan ringgit. Wang itu juga sukar untuk diperoleh kembali apabila dihantar ke Nigeria, kecuali pihak kami berjaya mengesan awal,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang laporan Utusan Malaysia semalam yang mendedahkan tentang seorang jurusolek artis terkenal Hong Kong yang kerugian sebanyak RM1.3 juta selepas terpedaya dengan sindiket ‘Love Scam’.
Kerugian jurusolek berusia 30-an itu sekali gus menjadikan dia sebagai mangsa terbesar tahun ini mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengulas lanjut, Roslan turut memberitahu, setiap hari lebih daripada lima mangsa membuat laporan polis di seluruh negara kerana tertipu dengan sindiket ini.
“Jika empat atau lima orang wanita yang tertipu dan telah ‘melabur’ sejumlah wang yang besar, maka tidak mustahillah lebih banyak wang dihantar ke Nigeria pada setiap masa.
“Saya sendiri hairan, bagaimana ramai pihak masih belum menyedari tentang penipuan ini kerana pelbagai pendedahan termasuk laporan demi laporan dilakukan di surat-surat khabar serta kaca televisyen sejak sekian lama. Risiko untuk ditipu akan muncul apabila orang ramai hanya mengambil mudah tentang kegiatan ini,” katanya.
Ditanya tentang langkah yang harus dilakukan orang ramai sekiranya mahu mengelakkan dari terjebak dalam penipuan ini, Roslan menyatakan, perkara utama ketika berhubung secara alam maya adalah melihat wajah asal mereka.
“Jika tidak bertemu atas alasan perhubungan jarak jauh, paling tidak adalah berkomunikasi menggunakan video. Lihat sendiri adalah wajah orang yang kita kenali itu sama dengan wajah pada gambar yang diletakkan di laman sosial.
“Majoriti kes penipuan ini adalah mangsa tidak mengenali suspek dan apabila ditunjukkan wajah suspek dari Afrika, mangsa terkejut dan menafikan berhubung dengan mereka. Inilah yang menyukarkan lagi pendakwaan jika adanya tangkapan,” katanya yang mahu wanita-wanita di negara ini mula memandang serius tentang jenayah ini.
Comments:
How to avoid the Love Scam ?
1- Delete any email from individual that claims you are the lucky person to received their millions of dollars fortune.
2- Do NOT even engaged in online friends from Nigeria or any Africa country, or Latin America, who are well-known for their poverty and scam ring !
3- Video call (if you are really desperately in love). To be sure that's the 'RICH handsome prince' you talked to on Facebook.
4- BUT if he/she is really rich prince, WHY should he/she even need your "poor money" ? (It just goes to show that the rich prince, is actually poorer than you).
5- NEVER be desperately in love, or in need of money! You are actually digging your own grave!