SUMBER:
https://www.bharian.com.my/node/213931
17 NOV 2016
Ayah datanglah ucap tahniah - Murid cemerlang UPSR
KOTA KINABALU: "Saya sudah menunaikan harapan keluarga untuk mendapat keputusan cemerlang...saya harap ayah datang mendakap serta mengucapkan tahniah."
Itu luahan Siti Roaisyah Mudsi, 12, murid cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Inanam Laut, dekat sini, yang memperoleh 5A, 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan di seluruh negara, pagi tadi.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu terpisah dengan bapanya, Mudsi Abdul Rasi, 33, sejak Februari tahun lalu selepas ibunya, Sarima Sabatar meninggal dunia ketika berusia 34 tahun akibat komplikasi buah pinggang pada Februari 2015.
"Harapan keluarga (untuk mencapai keputusan cemerlang UPSR) sudah saya tunaikan. Harapan saya sebagai seorang anak (bertemu bapa yang terpisah) kerana saya sangat menyayangi ayah walaupun dia pergi jauh dari saya," katanya ketika ditemui di sekolahnya, hari ini.
Siti Roaisyah yang kini tinggal bersama kakak, abang serta nenek, Jijam Sirum, 56, mengakui sedikit kecewa kerana tidak berjaya mendapat semua A namun tetap berpuas hati kerana sudah berusaha dengan sebaik mungkin.
"Harapan arwah ibu sudah saya tunaikan (cemerlang dalam UPSR). Arwah ibu selalu berpesan yang saya ini harapan untuk membantu keluarga pada masa depan, sebab itulah saya sentiasa mengutamakan pelajaran.
"Hampir setiap hari saya menghabiskan masa di perpustakaan selepas waktu persekolahan untuk mengulang kaji pelajaran sehingga lewat pulang ke rumah.
"Sebab inginkan kejayaan, jadi kena banyak berkorban. Oleh kerana terlalu banyak masa untuk pelajaran, saya terlupa masa untuk diri sendiri dan menjaga kesihatan.
"Pernah juga sakit dan demam tetapi saya datang juga ke sekolah kerana tidak mahu tertinggal dalam sesi pembelajaran," katanya.
Dia juga tidak mahu memasuki sekolah berasrama jika mendapat tawaran kerana mahu tinggal bersama keluarga dan membantu nenek melakukan kerja rumah.
----------------------------------------------------------------------------------------
SUMBER:
https://www.bharian.com.my/node/215555
(22 NOV 2016)
Akhirnya bapa murid cemerlang UPSR ucap tahniah
KOTA KINABALU: Walaupun hasrat untuk mendakap dan bercakap dengan bapanya yang terpisah sejak Februari tahun lalu belum kesampaian, seorang murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tetap gembira kerana akhirnya menerima ucapan tahniah.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Inanam Laut, Siti Roaisyah Mudsi, 12, menerima ucapan itu daripada bapanya, Mudsi Abdul Rasi, 33, menerusi ibu saudaranya di Filipina beberapa hari lalu, selepas membaca laporan mengenainya di BH Online.
"Ayah bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada saya. Dia kini berada di Filipina dan berjanji akan pulang menemui kami sekeluarga namun tidak pasti masa sesuai kerana ayah dilaporkan kurang sihat.
"Pesanan itu disampaikan melalui ibu saudara saya di Filipina yang mendapat tahu hasrat saya menemui ayah selepas temu bual saya di BH Online minggu lalu.
"Saya ada hubungi ibu saudara kerana mahu tahu khabar ayah di sana," katanya ketika ditemui BH di kediaman di Telipok, hari ini.
Khamis lalu, Siti Roaisyah ketika ditemui BH selepas mengambil keputusan UPSR, menyatakan hasrat supaya bapanya pulang menjenguk dan mengucapkan tahniah susulan keputusan 5A 1B diperolehnya.
Anak bongsu tiga beradik itu terpisah dengan bapanya sejak Februari tahun lalu selepas ibunya, Sarima Sabatar, meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang.
Sementara itu, Siti Roaisyah berkata, cuti persekolahan akhir tahun bermula hujung minggu ini akan digunakan bagi menelaah buku pelajaran Tingkatan Satu sebagai persediaan awal.
"Saya juga mahu membantu nenek membuat kerja rumah," katanya yang tidak berhasrat memasuki sekolah berasrama kerana enggan berpisah dengan abang, kakak dan nenek.
380 dibaca
.