Source:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1031&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm
(01 Nov 2017)
Sophia robot pertama dapat kerakyatan
RIYADH, Arab Saudi – Arab Saudi memberikan taraf kerakyatan kepada sebuah robot humanoid mirip manusia baru-baru ini sekali gus negara pertama di dunia berbuat demikian.
Robot canggih dinamakan Sophia itu berucap kepada sebuah panel industri robotik dan kecerdasan buatan pada persidangan Inisiatif Pelaburan Masa Depan (FII) di Riyadh, Rabu lalu dan diisytiharkan warganegara Arab Saudi sejurus selepas
Dibina oleh firma Hanson Robotics Ltd. yang berpangkalan di Hong Kong, robot humanoid itu memiliki kebolehan ekspresi wajah, ciri estetik dan interaktif luar biasa.
Persidangan FII yang dibiayai Dana Pelaburan Awam bertujuan mengetengahkan cita-cita tinggi Arab Saudi dalam mencorak masa depannya melalui pelan Wawasan 2030.
“Kami mahu membuat sedikit pengumuman. Kami baharu sahaja mendapat berita ini. Sophia, saya harap anda mendengar. Anda dianugerahkan kerakyatan Arab Saudi sekali gus yang pertama diberikan kepada sebuah robot,” kata pengacara panel itu, Andrew Ross Sorkin yang juga hos bersama program berita perniagaan terbitan CNBC, Squawk Box.
“Terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi. Saya amat berbangga dengan pengumuman ini. Menjadi robot pertama di dunia yang mendapat taraf kerakyatan adalah sesuatu yang bersejarah,” kata Sophia.
Sophia berupaya menjawab pelbagai soalan mengenai robot. Ketika ditanya mengenai robot futuristik jahat yang ditampilkan dalam filem-filem seperti Blade Runner 2049, ia berkata, manusia tidak perlu takut kepada robot.
Bidang robotik merupakan ciri utama projek Neom, sebuah zon perindustrian dan perniagaan mega menelan belanja AS$500 bilion (RM2.1 trilion) yang akan dibina di barat laut Arab Saudi. – Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1031&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz4xB0i9dmI
Hakcipta terpelihara