Source:
http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kedah/80-peratus-tahfiz-pondok-serta-sekolah-agama-di-kedah-gagal-patuhi-aspek-keselamatan-1.527249
80 peratus tahfiz, pondok serta sekolah agama di Kedah gagal patuhi aspek keselamatan
ALOR SETAR 16 Sept. – Kira-kira 80 peratus daripada 118 pusat tahfiz, pondok serta sekolah agama rakyat di negeri ini yang diperiksa Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah gagal mematuhi aspek keselamatan kebakaran yang digariskan.
Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Abdul Razak Muda berkata, sehingga Julai lalu pihaknya mengeluarkan teguran bertulis kepada pusat tahfiz, pondok serta sekolah agama yang gagal mematuhi piawaian yang ditetapkan.
“Dalam rekod JBPM Kedah, terdapat 147 buah pusat tahfiz, pondok serta sekolah agama rakyat berdaftar dengan kita. Daripada jumlah itu, sebanyak 118 telah diperiksa sehingga Julai lepas dan 80 peratusnya gagal mematuhi aspek keselamatan kebakaran.
“Antara teguran yang dikeluarkan adalah kerana tidak mempunyai alat pemadam api, sistem gelung hos, pengesan api automatik, penggera kebakaran elektrik manual, tangga kedua, tanda keluar kecemasan dan lampu kecemasan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya akan memastikan setiap pusat tahfiz, pondok serta sekolah agama rakyat yang sudah berdaftar akan dibuat pemeriksaan keselamatan kebakaran dan pada masa sama memberikan ceramah kesedaran kepada semua pelajar serta demonstrasi penggunaan alat pemadam api.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kedah/80-peratus-tahfiz-pondok-serta-sekolah-agama-di-kedah-gagal-patuhi-aspek-keselamatan-1.527249#ixzz4yBPzoiTP
© Utusan Melayu (M) Bhd
.