Source:
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/114203
Presiden Sri Lanka arah siasat rasuah kerajaan terdahulu
PRESIDEN Sri Lanka Maithripala Sirisena akan melantik sebuah suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan dan penyelewengan dilakukan kerajaan terdahulu yang diketuai bekas perdana menteri disingkirkan, Ranil Wickremesinghe.
Bercakap kepada Persatuan Wartawan Asing pada Ahad, Sirisena berkata beliau tidak berniat menentang perlembagaan negara dengan menyingkirkan Wickremesinghe dan melantik bekas presiden Mahinda Rajapakse mengambil alih jawatan itu.
Menurutnya tindakan berkenaan diambil kerana kerajaan pimpinan bekas perdana menteri itu didakwa terlibat dalam penipuan dan rasuah, lapor agensi berita Xinhua.
“Suruhanjaya baharu akan menyiasat rasuah dan penipuan dilakukan, saya yakin berlaku penipuan yang serius,” katanya.
Katanya, beliau tidak akan melantik semula Wickremesinghe sebagai Perdana Menteri walaupun kerajaan semasa diketuai Mahinda Rajapakse gagal memperolehi majoriti di Parlimen.
“Saya akan melantik seseorang yang boleh bekerja dengan saya dan dasar ekonominya yang memberi manfaat kepada negara.”
Sri Lanka dicengkam kemelut politik serius selepas pemecatan Wickremesinghe pada 26 Oktober, apabila bekas perdana menteri itu dan partinya, Parti Bersatu Kebangsaan (UNP) mendakwa presiden telah melanggar perlembagaan dengan memecatnya.
UNP berkata kerajaan sementara yang dilantik Sirisena tidak dapat diteruskan kerana kalah dalam undi tidak percaya di Parlimen.
Keputusan itu bagaimanapun ditolak Sirisena dengan mengatakan ia dilaksanakan tidak mengikut peraturan perlembagaan oleh Speaker Karu Jayasuriya.
Presiden mahu Parlimen mengadakan semula undian mengikuti semua tradisi parlimen.
Pada minggu lepas seramai 122 ahli Parlimen Sri Lanka turut memfailkan tuntutan di mahkamah berhubung penubuhan kerajaan baharu.
Sirisena mempertahankan bahawa krisis yang berlaku sekarang tidak serius dan menjejaskan kehidupan rakyat Sri Lanka, selain memberi jaminan ia akan diselesaikan tidak lama lagi. – Bernama, 26 November, 2018.
.