SOURCE:
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/02/659663/bekas-pelajar-um-didakwa
Rabu, 26 Februari 2020 | 6:53pm
Bekas pelajar UM didakwa
KUALA LUMPUR:Seorang bekas pelajar kejuruteraan Universiti Malaya (UM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja membangkitkan kemarahan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Abdul Rahim Hashim dan tetamu sewaktu Istiadat Konvokesyen UM Ke-59 tahun lalu.
Wong Yan Ke, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.
Mengikut pertuduhan, Yan Ke didakwa dengan sengaja mengaibkan serta membangkitkan kemarahan Naib Canselor dan tetamu dengan tindakan yang boleh menjejaskan keamanan awam di Dewan Tunku Canselor di sini, pada 10 pagi, 14 Oktober 2019.
Dia dituduh mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam P Rajsurian yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh memberikan kerjasama kepada polis.
Mahkamah membenarkan Yan Ke diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac untuk sebutan semula kes.– BERNAMA
.