(11 JAN 2012)
Rasuah: Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Muar dipenjara, denda RM180,000
JOHOR BAHRU 10 Jan. – Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Muar, Deputi Supritendan Mansor Mohamad, 55, dihukum penjara empat tahun dan denda berjumlah RM180,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas enam tuduhan rasuah, lapan tahun lalu.
Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM30,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Mansor Mohamad, 55.
Mansor turut berdepan hukuman penjara setahun sekiranya gagal menjelaskan denda berjumlah RM180,000 berkenaan. Kesemua hukuman tersebut diperintahkan berjalan serentak mulai hari ini.
Mohamad Haidar bagaimanapun membenarkan permohonan Mansor yang merupakan bapa kepada lima anak itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan.
Mengikut pertuduhan pertama, Mansor didakwa meminta suapan wang RM6,000 daripada Toh Ah Ban sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang menjalankan aktiviti perniagaan nombor ekor haram di Hotel Pelangi, Muar kira-kira pukul 2 petang, 21 April 2003.
Bagi tuduhan kedua, Mansor didakwa menerima rasuah berjumlah RM6,000 daripada Ah Ban bagi tujuan yang sama di bilik nombor 132, Hotel River View, Muar pukul 10.15 malam pada 9 Mei 2003.
Mansor turut didakwa meminta rasuah wang RM6,000 daripada Lee Cheng Seng juga sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu yang menjalankan aktiviti perniagaan nombor ekor haram di Stesen Minyak Petronas, Jalan Temenggung Ahmad, Muar kira-kira pukul 2 petang, 28 April 2003.
Berdasarkan pertuduhan keempat, dia didakwa menerima suapan RM6,000 daripada Cheng Seng di bilik nombor 132, Hotel River View, Muar pukul 10.15 malam pada 9 Mei 2003.
Bagi tuduhan kelima, Mansor didakwa meminta rasuah wang RM6,000 daripada Wong Choon Seng bagi tujuan yang sama, kira-kira pukul 12 tengah hari di Plaza Tol Tangkak pada 28 April 2003.
Pada pertuduhan terakhir, dia didakwa bersetuju menerima suapan RM6,000 daripada Choon Seng bagi tujuan tersebut pada pukul 10.15 malam, 9 Mei 2003 di bilik nombor 132, Hotel River View, Muar.
Bagi kesemua tuduhan meminta suapan, Mansor didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997, manakala bagi tuduhan menerima, dia didakwa di bawah Seksyen 11(a) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta tersebut.
.