Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/338
Rupanya Orang Yang Ingin di Bantu itu Penyamun !
Mohd Izhar Aziz, 38, yang menjadi mangsa samun empat lelaki dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu berkata beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian dan terkejut apabila melihat sebuah kereta Kelisa berwarna kelabu terbalik dalam parit.
“Saya melihat dua lelaki melambai-lambai tangan dan seorang daripadanya meminta tolong serta memberitahu bahunya patah. Seorang lagi pula merangkak keluar dari kereta berkenaan dan apabila cuba berdiri, dia terjatuh dan berdasarkan pemerhatian saya, kemungkinan kakinya patah manakala dua lagi rakan mereka tidak mengalami kecederaan.
“Saya dan beberapa pengguna jalan raya di tempat kejadian cuba memberi bantuan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.
Mohd Izhar berkata beliau kemudiannya menyuruh empat lelaki berkenaan masuk dan berehat di dalam vannya sebelum beliau pergi semula ke arah kereta mereka yang terbalik dalam parit, terletak kira-kira 10 meter dari situ.
“Tiba-tiba saya dengar bunyi enjin kenderaan dan nampak seorang daripadanya memandu van dan memecut laju, tidak sempat untuk saya berbuat apa-apa,” katanya.
Berikutan kejadian itu, Mohd Izhar berkata beliau kerugian RM3,700 dan sebuah telefon bimbit yang diletakkan dalam van itu.
“Saya baharu sahaja membuat pinjaman dengan majikan dan duit RM3,000 itu ingin digunakan untuk perbelanjaan sekolah tiga orang anak saya dan tidak sangka jadi begini,” katanya yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Seberang Jaya.
Beliau juga tidak menyangka mangsa kemalangan berkenaan merupakan penjenayah kerana sebelum kejadian itu, mereka telah menyamun seorang wanita.
Terdahulu, keempat-empat suspek berkenaan telah menyamun seorang wanita di hadapan rumahnya di Bandar Putra Bertam, di sini dan melarikan beg berisi pakaian, wang tunai dan cermin mata. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 September 2014
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/338#sthash.7dzy7dY5.dpuf.