Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/2237 (16 October 2014)
Kadet Inspektor positif dadah
Ipoh: Polis Perak mengesahkan seorang Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh ditahan di Pulau Pinang semalam, kerana memiliki sejumlah dadah jenis syabu.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pegawai berpangkat Inspektor berusia 30 tahun itu diberkas bersama seorang rakannya dalam serbuan di sebuah rumah pangsa di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.
"Pegawai terbabit adalah Kadet Inspektor yang baharu sahaja melaporkan diri di IPD Ipoh pada Mac lalu.
"Ketika serbuan, polis Pulau Pinang menemui sejumlah dadah jenis syabu bersama pegawai berkenaan serta ujian mendapati kedua-dua tangkapan itu positif dadah.
"Kes kini disiasat Polis Pulau Pinang mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada majlis penyerahan tugas sebagai Ketua Polis Perak yang kini dipangku Timbalan Ketua Polis Datuk A Paramasivam.
Acryl berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk jenayah yang dilakukan oleh pegawai atau anggotanya dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2237#sthash.bxIQo7a2.dpuf