Source:
http://www.hmetro.com.my/node/42051?m=1
Usah taasub kejar ranking
Shah Alam: Universiti Teknologi Mara (UiTM) disaran supaya tidak terlalu taasub mengejar kedudukan (ranking) universiti di peringkat dunia sebaliknya perlu memberi lebih tumpuan menghasilkan penuntut berkemahiran.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata, kedudukan sesebuah universiti tidak menentukan kualiti sesebuah institusi pengajian tinggi itu.
“Ingin saya tekankan di sini, UiTM jangan terlalu taasub dengan ‘ranking’ dunia kerana ia hanya satu permainan negara barat.
“Warga UiTM perlu memberi lebih tumpuan kepada seni yang dapat menggambarkan budaya dan tradisi masyarakat negara ini melalui penuntut berkemahiran dalam bidang dipelajari,” katanya ketika ucapan perasmian Majlis Penutupan Program Rumah Gemilang dan Pelancaran Buku Induk Rumah Gemilang di Menara Sultan Abdul Aziz, UiTM Shah Alam, di sini, semalam.
Projek Rumah Gemilang yang dibiayai Kementerian Pendidikan Malaysia itu bertujuan menaik taraf hidup penduduk setempat khususnya di Sabak Bernam, Selangor, menerusi pendekatan kesenian dan keusahawanan menghasilkan seramik kraf.
Sementara itu Dr Asma berkata, modul penuntut, pensyarah dan alumni Jabatan Seramik Perindustrian, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), UiTM Shah Alam itu mampu melonjakkan nama institusi berkenaan.
“Saya percaya warga universiti ini berjaya mengharumkan nama mereka dengan penghasilan penuntut dan pensyarah berbakat dalam bidang masing-masing.
“Selain itu, kementerian bersedia membuka jalan dan peluang perniagaan kepada usahawan yang dihasilkan melalui program ini serta berharap UiTM memberi tumpuan serius,” katanya.
Dalam pada itu peserta program Khairul Azhar Ashaari, 37, berkata, program itu memberi impak positif kepadanya serta peserta lain kerana dapat mempelajari ilmu kemahiran berkenaan.
“Kami bukan hanya dapat mempelajari kemahiran membuat seramik malah ia secara tidak langsung dapat membuka peluang perniagaan,” katanya.
Selasa, 7 April 2015 @ 9:34 AM