Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/g25-mahu-hukuman-khalwat-dimansuh-1.166423
G25 mahu hukuman khalwat dimansuh
07 Disember 2015 2:08 AM
|
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Selepas mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kumpulan bekas penjawat awam, G25 pula mahu penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.
Antara yang dicadang untuk dimansuhkan ialah hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub di dalam Perlembagaan.
Jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin berkata, dengan berpandukan pada prinsip Perlembagaan, kumpulan tersebut menentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian kerana itu adalah hak dan privasi setiap individu.
Menurutnya, perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah kecuali jika dilakukan di kawasan awam, namun Malaysia adalah satu-satunya negara yang menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan itu.
“Ini bertentangan dengan Islam. Apa orang buat di dalam rumah sendiri, anda tidak boleh ketuk pintu pada pukul 3 pagi dan menahan mereka, ini bertentangan dengan prinsip perundangan Islam, dosa peribadi adalah antara diri sendiri dengan Allah.
“Anda boleh masuk neraka atau tidak, atau apa sahaja tetapi bukan urusan undang-undang menghukum anda ke dalam penjara kerana melakukannya secara privasi di rumah, bukan taman awam,” tegasnya dalam sidang akhbar selepas Forum Islam Dalam Demokrasi Berparlimen di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) hari ini.
Yang turut hadir, Penasihat G25, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Forum, Datuk M. Redzuan Kushairi.
Noor Farida berkata, pelaksanaan undang-undang syariah menjadi masalah apabila ia melanggar Perlembagaan sehingga menjadikan dosa peribadi seseorang sebagai satu kesalahan jenayah.
“Bidang kuasa jawatankuasa perunding ini adalah untuk melihat jika sesungguhnya undang-undang itu melanggar Perlembagaan, mereka akan mencadangkan ia dimansuhkan atau dipinda,” tegasnya.
Tambahnya, G25 akan mendapatkan kerjasama dan penglibatan daripada semua NGO dalam membincangkan perkara tersebut termasuk kemungkinan memohon dana kerajaan untuk memudahkan pergerakan mereka. Sementara itu, M. Redzuan berkata, jawatankuasa tersebut akan melakukan kajian menyeluruh untuk ‘memperbetulkan’ beberapa perkara di dalam undang-undang syariah yang telah melangkaui sempadan Perlembagaan.
“Ini akan melibatkan masyarakat dan orang ramai, mereka akan mengkaji undang-undang syariah dan sivil untuk melihat di mana bahagian yang pelaksanaan syariah ini melampaui Perlembagaan,” jelasnya.
Sumber:
--------------------------------------------------------------------------------------------
Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/g25-aibkan-8232-kumpulan-sendiri-1.165965
G25 aibkan kumpulan sendiri
Keluar kenyataan tanpa selidik
06 Disember 2015 12:34 AM
|
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Kenyataan yang dibuat oleh kumpulan G25 dilihat sebagai mendedahkan keaiban sendiri selepas mempertikaikan kewujudan serta berhasrat mengaudit akuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tanpa membuat penyelidikan terperinci dalam segala aspek berkaitan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan tuduhan kumpulan tersebut tidak berasas tanpa meneliti laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara.
Katanya, sehubungan itu, pihaknya bersedia sedia mengadakan pertemuan dan bermuzakarah dengan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dalam segala isu berkenaan agensi tersebut demi pembangunan Islam di negara ini.
“Jakim memerlukan penglibatan pelbagai pihak bagi mengadakan perbincangan secara terbuka untuk mengetahui segala kelemahan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh agensi berkenaan.
“Kami tidak mengatakan kami sempurna dan tiada cacat cela. Jika mereka ikhlas mereka harus tampil dan beritahulah masalah atau sebarang isu secara terbuka. Jangan pula kebencian kepada rakyat dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan tohmahan yang akhirnya akan merosakkan institusi yang berperanan memartabatkan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis perasmian Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Dr. Yusri Mohamad; Timbalan Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin.
Sementara itu, Asyraf Wajdi menegaskan, peruntukan yang diterima oleh Jakim telah digunakan bagi membangunkan serta memperkasa institusi Islam di negara ini.
“Kita memperuntukkan hampir RM700 juta untuk diberikan kepada imam, guru agama serta institusi pendidikan Islam setiap tahun. Jumlah tersebut sepatutnya perlu ditambah memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Selain itu, kita gunakan peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan untuk mengurus dan menjaga hal ehwal Islam dalam pelbagai aspek termasuk isu halal. Ia masih dikira tidak mencukupi kerana kita hanya mempunyai 100 pegawai untuk membuat pemantauan di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu kata Asyraf Wajdi, pihaknya kini sedang giat menjalankan kajian berhubung indeks syariah di negara ini bersama beberapa universiti di negara ini. Katanya, pihaknya turut menggiatkan pelbagai usaha untuk memberi penjelasan berkaitan pendekatan, implikasi dan kesan pelaksanaannya dalam konteks pembangunan Islam.
Sumber: