Source:
http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/biarpun-bukan-pewaris-harta-anak-tetap-bangga-dengan-bill-gates-1.400496
Biarpun bukan pewaris harta, anak tetap bangga dengan Bill Gates
28 Oktober 2016 12:32 AM
Gambar kenangan Bill Gates (kiri) dan Melanie (dua dari kanan) serta anak-anak mereka semasa bercuti beberapa tahun lalu. Agensi
NEW YORK 27 Okt. – Tiga anak jutawan Microsoft, Bill Gates bangga dengan keputusan bapa mereka yang tidak menyerahkan harta berjumlah AS$85.52 bilion (RM356.16 bilion) untuk diwarisi tetapi sebaliknya didermakan semuanya kepada golongan miskin.
Gates, 60, yang mempunyai dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki berkata, semua anaknya memahami dan menyokong keputusan itu.
“Wang ini adalah untuk membantu mereka yang miskin. Anak-anak saya tahu dan bangga malah mereka turut melihat kerja-kerja kebajikan yang dilakukan,’’ katanya.
Menurut laporan Mail Online, Gates tidak meninggalkan kemewahan kepada mereka sebaliknya memberi pendidikan yang terbaik supaya mereka boleh memulakan karier masing-masing.
“Walaupun begitu, mereka tidak akan menjadi miskin. Mereka tetap mempunyai sokongan kewangan bagi tujuan keselamatan,’’ katanya.
Gates yang menceritakan kehidupan peribadinya kepada rancangan televisyen, This Morning turut menegaskan, beliau tidak mahu memberi kemewahan melampau kepada anak-anaknya kerana ia akan membawa kepincangan dalam perkara yang mereka lakukan, sebaliknya mereka perlu mencipta hala tuju sendiri.
Tiga anak Gates iaitu, Jennifer, 20, Rory, 17 dan Phoebe, 14 merupakan hasil perkahwinannya dengan Melinda, 52.
Jennifer kini belajar dalam tahun dua di Universiti Stanford, California yang mana Gates turut menderma sebanyak AS$6.11 juta (RM25.45 juta) bagi pembinaan bangunan sains komputer atas nama beliau.
Jennifer juga seorang penunggang kuda yang hebat dan sering menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan.
Rory dan Phoebe masih bersekolah dan tinggal bersama-sama Gates di Seattle, Washington.
Gates hanya mewariskan sebahagian kecil harta kepada anak-anaknya, manakala selebihnya akan didermakan kepada badan kebajikan miliknya, Yayasan Bill dan Melinda Gates yang membiayai projek-projek pendidikan dan kesihatan di seluruh dunia.
.