Source:
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kedah-tangga-teratas-1.351727
Kedah tangga teratas
Penyalahgunaan dadah libatkan pelajar seluruh negara
11 Julai 2016 12:02 AM
|
ALOR SETAR 10 Julai - Kedah menjadi negeri yang mencatat jumlah penyalahgunaan dadah tertinggi dalam kalangan pelajar sekolah selepas 374 orang dikesan positif bahan terlarang itu selepas menjalani ujian air kencing pada tahun lalu.
Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Mohammad Nazer Mustafa berkata, lebih membimbangkan angka itu dijangka meningkat memandangkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja seramai 305 pelajar dikesan positif dadah.
Katanya, dadah sintetik jenis methamphetamine atau syabu menjadi pilihan paling popular dalam kalangan remaja di negeri ini.
“Dalam pemeriksaan rawak yang kita lakukan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan di 186 buah sekolah membabitkan 5,696 pelajar, didapati kira-kira 84 peratus atau 311 orang positif dadah jenis syabu, opiat (40 orang) dan kanabis (23 orang).
“Kita jangkakan jumlah pelajar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar pada tahun ini lebih tinggi kerana bagi tempoh enam bulan pertama ini sahaja, sebanyak 305 orang dikesan positif dadah.
“Jumlah itu adalah daripada 2,537 pelajar dari 156 buah sekolah yang diuji. Kita ada lebih kurang 40 sekolah lagi terutama di Kota Setar, Kubang Pasu, Kuala Muda dan Baling untuk menjalankan pemeriksaan rawak yang dikenal pasti sebagai ‘kawasan panas’,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurut Mohammad Nazer, perkembangan gejala tidak sihat itu membimbangkan pihaknya berikutan penyalahgunaan dadah terutama jenis sintetik boleh memberi kesan kepada kesihatan mental.
“Berdasarkan ujian saringan rawak yang dilakukan di sekolah, kita mendapati penyalahgunaan dadah jenis syabu adalah tinggi yang mana melebih 80 peratus daripada jumlah yang dikenal pasti positif dadah.
“Pengguna syabu bukan sahaja mendedahkan diri kepada penyakit mental, malah boleh menyebabkan mereka menjadi ganas dan tiada perasaan takut sehingga sanggup bertindak luar batas,” ujarnya.
Mohammad Nazer memberitahu, pihaknya menerima aduan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu daripada ibu bapa mengenai perilaku agresif anak mereka sehingga sanggup memukul mereka apabila permintaan tidak ditunaikan.
“Selepas kita melakukan ujian air kencing didapati anak mereka memang positif dadah jenis syabu. Sehubungan itu, kita menggalakkan ibu bapa atau keluarga yang menyedari perubahan tingkah laku anak mereka untuk merujuk dengan AADK berhampiran,” katanya.
Dalam pada itu Mohammad Nazer berkata, pihaknya mengadakan kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan untuk memberi kaunseling dan motivasi kepada pelajar terlibat untuk meninggalkan tabiat tersebut.
“Kebanyakan pelajar yang dikesan positif dadah ini mengakui bahawa mereka sekadar mencuba dan untuk berseronok sahaja. Jika diselamatkan lebih awal, mereka akan mampu membuang tabiat buruk tersebut,” ujarnya.