Kedua-dua suspek yang berusia 54 dan 51 tahun itu ditahan di pejabat mereka di Kota Kinabalu, Sabah kira-kira pukul 9.15 pagi. Mereka ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram.

Turut dirampas ialah wang tunai bernilai kira-kira RM3 juta yang disimpan dalam peti besi di pejabat salah seorang pegawai kanan tersebut. Menurut sumber, kedua-dua pegawai kanan berkenaan berjawatan Pengarah dan Timbalan Pengarah di jabatan kerajaan yang mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion sejak tahun 2010 itu telah memonopoli kesemua projek dan diserahkan kepada adik-beradik mereka.

Ujarnya, penyalahgunaan kuasa ini yang dipercayai bermula sejak tahun 2010 hingga kini dan siasatan awal mempercayai mereka telah mengumpul harta kekayaan melebihi RM50 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.- UTUSAN ONLINE