Sumber:
https://www.utusan.com.my/berita/nasional/ambil-tindakan-terhadap-ejen-pemetik-buah-1.408987
Ambil tindakan terhadap ejen pemetik buah
18 November 2016 5:00 PM
Sekumpula n pekerja Malaysia mendengar penjelasan daripada penyelia sebelum memulakan tugasan di ladang Cutri Fruit, Swan Hill, Victoria, Australia.
KUALA LUMPUR 17 Nov. – Kerajaan digesa mengambil tindakan segera terhadap ejen-ejen yang menyebarkan iklan kerja memetik buah yang menawarkan gaji lumayan dan kehidupan mewah di Australia.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Krishnan berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap ejen-ejen yang bertanggungjawab menyebarkan iklan pekerjaan tersebut dalam laman media sosial.
“Ini tanggungjawab pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap ejen-ejen yang menyebarkan iklan palsu dalam media sosial. “Perkara seperti ini merupakan pengajaran kepada rakyat terutamanya golongan belia yang tertarik dengan keuntungan segera dan janji manis pihak tertentu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia yang mendedahkan penindasan terhadap rakyat Malaysia yang tertarik dengan iklan kerja memetik buah di Australia sambil menjanjikan gaji yang lumayan tetapi hakikatnya mereka bekerja secara haram malah hidup dalam penuh ketakutan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, program khusus perlu dilaksanakan bagi memantau situasi pekerja Malaysia supaya mereka dilindungi daripada teraniaya semasa bekerja di luar negara.
Katanya, program ini perlu dilaksanakan bagi memantau gerak-geri pekerja dan melindungi mereka daripada dieksploitasi sekali gus status akan lebih terjamin apabila bekerja di luar negara.
“Malah pihak kerajaan harus menggunakan pendekatan diplomatik dalam membantu pekerja tempatan pulang dengan segera supaya mereka tidak terus hidup dalam keadaan sengsara,” katanya.
----------------------------------------------------------------------------------------
Sumber:
https://www.utusan.com.my/berita/nasional/rakyat-malaysia-berenang-menyorok-dalam-hutan-elak-ditangkap-imigresen-australia-1.408568
Rakyat Malaysia berenang, menyorok dalam hutan elak ditangkap imigresen Australia
17 November 2016 5:00 PM
SWAN HILL 16 Nov. - Berenang merentasi tasik dan menyorok di dalam hutan. Begitulah terdesaknya rakyat Malaysia yang bekerja secara haram apabila digempur Imigresen Australia. Mereka hidup dalam ketakutan diburu dan perlu nekad serta licik meloloskan diri daripada kepungan pihak berkuasa apabila berdepan dengan operasi.
Jika di Malaysia, kita menonton di televisyen bagaimana Imigresen Malaysia menyerbu penempatan pekerja asing dari Indonesia dan Bangladesh.
Suasananya sama di sini, cuma yang diburu adalah rakyat Malaysia yang bekerja secara tidak sah. Nasib orang kita sama dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia. Menyedihkan. Seorang pekerja Malaysia turut berkongsi pengalamannya berdepan dengan serbuan di kawasan ladang blueberry di utara Coffs Harbour yang menyebabkan 34 rakyat Malaysia termasuk dua kanak-kanak ditahan Ogos lalu.
Shahdam, awal 50-an, yang berasal dari utara berkata, pasukan imigresen membuat serbuan secara teratur dengan membuat kepungan darat termasuk menggunakan anjing pengesan.
Di udara pula, helikopter membuat tinjauan untuk mengesan pergerakan pekerja haram yang melarikan diri. “Mana hang nak lari? Bila terdesak, mesti buat benda nekad, ada yang sampai berenang dalam tasik. Ramai yang selamat dengan cara ni.
“Ada yang masuk hutan menyorok, bila line clear kita keluarlah. Kalau di ladang, kita mesti lari dalam pelbagai arah secara individu, jangan bergerak dalam kumpulan, apa kat depan, redah terus,” katanya.
Selepas menggempur ladang, Imigresen Australia juga membuat operasi di stesen-stesen kereta api bagi mengesan pekerja haram yang mahu melarikan diri ke kawasan lain.
Bagi pekerja yang memiliki kenderaan sendiri, misi mereka lebih mudah namun bagi Shahdam dan rakan-rakannya, mereka tiada alternatif yang lebih baik.
“Aku yang tak ada kereta payah lah, sampai ke stesen kereta api tak turun terus, duduk dalam kereta kawan dulu. Intai sekeliling.
“Bila dah sah line clear, baru beli tiket lepas tu menyorok dalam kereta dulu sebelum kereta api sampai,” dedahnya.
.