Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, suspek yang juga bekas anggota polis berpangkat sarjan akan didakwa atas tiga pertuduhan iaitu memiliki senjata api tanpa kebenaran, menyimpan peluru tanpa lesen dan mencuri.
"Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. 
Kosmo! pada 27 Januari lalu melaporkan seorang imam berusia 63 tahun ditahan polis kerana disyaki memukul isterinya sebelum melepaskan satu das tembakan menggunakan sepucuk pistol gara-gara berselisih faham dengan isterinya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, suspek dipercayai bertindak demikian gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya memajak pokok rambutan di rumah mereka yang telah berbuah kepada penduduk kampung.
Polis berjaya menemui pistol jenis Revolver itu yang ditanam oleh suspek di sebuah kawasan di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Selangor pada 28 Januari lalu. - K! ONLINE