SOURCE:
http://www.utusan.com.my/berita/politik/semak-kelayakan-akademik-kembalikan-integriti-kerajaan-1.838020
ALOR SETAR 10 Feb. - Kerajaan didesak supaya melakukan segera semakan semula terhadap kelayakan akademik kesemua Menteri dan Timbalan Menterinya sebagai langkah mengembalikan integriti badan eksekutif negara itu.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, pendedahan demi pendedahan mengenai kelayakan akademik beberapa nama dalam Kabinet baru-baru ini termasuk oleh media asing diakui telah mencalarkan imej negara.
Beliau berkata, malah langkah menyemak status kelayakan akademik barisan Kabinet adalah menepati kempen 'Kepimpinan Melalui Teladan' yang dilancarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1983.
"Pada kempen itu, Dr. Mahathir menggesa agar penekanan hasil kerja adalah berasaskan kepada tiga teladan penting iaitu bersih, cekap dan amanah.
"Tiga elemen ini penting demi kesejahteraan dan keteguhan rakyat serta kedaulatan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Isu melibatkan ‘sijil palsu’ mendapat perhatian ramai apabila Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada awalnya dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge, England.
Bagaimanapun selepas laporan polis dibuat terhadapnya oleh aktivis politik yang mempertikaikan kesahihan sijil akademik itu, Marzuki kemudian menjelaskan ijazah beliau adalah dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat (AS).
Namun begitu, kredibiliti Universiti Antarabangsa Cambridge, AS itu dipertikaikan kerana didakwa merupakan ‘kilang’ mengeluarkan sijil pendidikan yang tidak sah termasuk boleh dibeli.
Warganet kemudian mula ‘menyiasat’ sendiri beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain dan antara yang turut terpalit dengan kontroversi tersebut termasuklah Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selain kelayakan akademik Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Menurut Shahanim, semakan status kelayakan akademik para Menteri dan Timbalan Menteri membuktikan bahawa kerajaan menitikberatkan soal integriti dan tidak hanya menjadikannya sebagai retorik politik semata-mata.
"Kalau dalam soal kelayakan akademik pun hendak menipu, tak mustahil perkara lain pun boleh ditipu," katanya lagi. - UTUSAN ONLINE
.