http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_05.htm (14th November 2010)
Beginda Murtad: JAIS Minta Bantuan Jakim
KUCHING 13 Nov. - Sarawak akan mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyiasat dan mengesahkan sama ada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Beginda Minda sebelum ini merupakan seorang Islam atau sebaliknya.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) tidak mempunyai rekod yang mengatakan Beginda atau nama Islamnya, Nor Azman Abdullah telah memeluk Islam. Jelasnya, Beginda juga tidak pernah mengaku kepada jabatan tersebut dia seorang Islam atau tidak pernah keluar daripada Islam walaupun namanya menunjukkan dia seorang Islam.
''Kita akan menyiasat perkara ini dan kerajaan negeri akan meminta bantuan Jakim yang akan bekerjasama dengan jabatan agama Islam lain di negara ini untuk membantu sama ada Beginda pernah mempunyai rekod sebagai seorang Muslim atau tidak. ''Sebaik sahaja kita mendapat laporan itu, kita akan membuat susulan mengenai perkara tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.