http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm
(14th November 2010)
KUALA LUMPUR 13 Nov. - Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berdiam diri tanpa mahu mengambil sebarang tindakan berhubung kepincangan dalam pemilihan parti itu membuktikan beliau merupakan seorang pemimpin diktator.
Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berkata, langkah berdiam diri Anwar itu sebenarnya bertujuan melindungi kepentingan 'anak emasnya' iaitu Naib Presiden PKR, Azmin Ali bagi memenangi perebutan jawatan timbalan presiden parti. Katanya, tindakan Anwar itu menyebabkan ramai pemimpin kanan PKR bertindak meninggalkan parti manakala Datuk Zaid Ibrahim meletakkan semua jawatan dalam parti dan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden, Isnin lalu.
"Sekiranya Anwar memang benar-benar pejuang demokrasi, dia sepatutnya membatalkan proses pemilihan PKR yang menerima lebih 100 laporan kepincangan dan mengadakan pemilihan semula secara telus.
"Namun, adat seorang diktator, Anwar tidak akan melakukan apa- apa kerana semua tahu dia hanya mahukan orang kesayangannya, Azmin memenangi jawatan kedua tertinggi PKR, itu sahaja," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini. Mohammad Fairus yang juga bekas Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Dr. Chandra Muzaffar yang menyifatkan Anwar sebagai pemimpin tidak demokratik kerana tidak dipilih secara terbuka sebagai pemimpin parti itu.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha PKR Selangor, Mohd. Nazmi Rosli berkata, Anwar juga enggan mengesahkan kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi PKR dengan bertanding jawatan presiden parti. Katanya, ini kerana Anwar sedar sekiranya bertanding jawatan presiden, beliau akan berhadapan dengan kritikan serta pendedahan dalam pelbagai perkara seperti kes liwat yang sedang dihadapinya di mahkamah.
"Anwar tahu permainan politik PKR sangat kotor dan dia tidak mahu mengambil risiko dimalukan oleh para pesaingnya jika beliau bertanding jawatan presiden.
"Selain pertuduhan liwat di mahkamah, para pesaing Anwar dalam jawatan itu (sekiranya Anwar bertanding jawatan Presiden PKR) pasti akan mengaitkannya dengan Azmin, lalu semakin buruk kredibilitinya," katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm (14th November 2010)
Hentikan pemilihan MPP PKR
PETALING JAYA 13 Nov. - Satu demi satu dakwaan mengenai ketidakadilan dalam proses pemilihan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus dilontarkan oleh ahli-ahli parti itu. Hari ini, sekumpulan 300 orang yang mendakwa ahli parti itu mengadakan demonstrasi di hadapan Pejabat PKR Pusat di sini bagi mendesak supaya pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu yang sedang berlangsung dihentikan.
Rata-rata daripada mereka mendakwa pemilihan PKR yang sedang berlangsung tidak dilakukan dengan adil, sebaliknya hanya mementingkan individu tertentu. Dalam demonstrasi aman itu, kumpulan berkenaan turut membawa beberapa kain rentang yang mengutuk pemimpin tertinggi PKR selain mahu pemilihan parti diadakan semula.
Kumpulan berkenaan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan umur hadir menaiki tiga bas serta beberapa van sejak pukul 10 pagi. Difahamkan kumpulan itu merupakan ahli PKR dari Selayang, Hulu Selangor, Tanjung Malim, Subang dan Batu Kawan (Pulau Pinang). Perhimpunan itu bagaimanapun selesai pada pukul 12 tengah hari.
Turut kelihatan ialah Bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR, P.S. Jenapala; Bekas Bendahari PKR Selangor, S. Kottapan dan Bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Selayang, Datuk Mazlan Hassan. Seorang daripada wakil kumpulan itu yang juga bekas calon Ketua Cabang PKR Selayang, B. Rajendran ketika ditemui pemberita berkata, demonstrasi tersebut diadakan bagi mendesak pemilihan MPP dihentikan serta-merta.
"Sebagai ahli PKR, kami tidak boleh menerima sekiranya pemilihan MPP tetap dijalankan kerana ia tidak dilakukan dengan telus.
"Pemimpin atasan PKR perlu menyelesaikan dahulu penggantungan beberapa cabang serta masalah lain sebelum meneruskan pemilihan MPP," dakwanya yang merupakan Ketua Komuniti Kaum India Parlimen Selayang. Seorang lagi ahli PKR, Abdul Razak Mohd. Jalil berkata, pemimpin tertinggi PKR seharusnya memandang serius demonstrasi yang diadakan itu. Ini kerana, katanya, demonstrasi itu merupakan suara akar umbi yang mahukan keadilan dan ketelusan dalam pemilihan pemimpin parti.
"Sebagai wakil dari Selayang, kami mendesak supaya pemilihan MPP dihentikan sementara pemilihan cabang dilakukan semula dengan lebih adil.
"Sekarang rakan-rakan lain telah mula hilang keyakinan dengan PKR, namun mereka masih menunggu jika pemimpin tertinggi dapat melakukan sesuatu. Sekiranya tiada sebarang perubahan, mungkin mereka tidak akan bersama PKR lagi," jelasnya.