KOMEN: Campur tangan orang politik di dalam pentadbiran universiti boleh menyebabkan banyak faktor buruk:
1- Kemasukan pelajar akan berkurangan, pelajar akan khuatir bahawa nasib mereka juga tidak akan ditimbang kelak, maklumlah orang 'besar' universiti pun boleh di turun pangkat atau dibuang universiti, dengan sewenangnya.
2- Ini juga akan menurunkan semangat atau motivasi para pensyarahnya untuk terus berkhidmat dengan 'cemerlang dan gemilang'. Maklumlah semua hasil kajian, kertas kerja, penulisan buku ilmiah, dan jurnal - semuanya tidak akan dilihat - profesor pun boleh dibuang universiti atau diturunkan pangkat dengan sesuka hati, ini pula pensyarah biasa.
------------------------------------------------------------------------------------------------
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm
(4 Aug 2011)
Campur Tangan Hancurkan Unisel
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 3 Ogos - Campur tangan politik dalam urusan pentadbiran Universiti Selangor (Unisel) bakal membawa kehancuran kepada universiti itu yang kini berhadapan dengan kemerosotan kemasukan pelajar.
Bekas Naib Canselor pertama Unisel (dahulunya Universiti Industri Selangor), Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi (IPT), Unisel sepatutnya memiliki autonomi sendiri dan bebas daripada unsur-unsur politik kepartian. ''Saya sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku terhadap universiti yang saya bangunkan selama ini. Saya bermula dengan kosong tetapi kini Unisel menjadi hancur.
''Naib Canselornya merupakan seorang yang berpendidikan tinggi, berpengalaman dan mempunyai visi yang luas, tetapi kerana berlakunya campur tangan politik, beliau meletak jawatan.
''Seharusnya perkara ini tidak berlaku. Saya sendiri mendapat maklumat bahawa dalam Unisel sudah ada kelompok tertentu. Ada team A dan B. Ini sangat tidak sihat. Walhal mereka ini golongan profesional,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Unisel asalnya ditubuhkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Beliau mengulas tindakan Naib Canselor Unisel, Datuk Dr. Rosti Saruwono meletak jawatan dengan notis 24 jam dipercayai akibat tekanan politik dalaman dan pentadbiran Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.
"Inilah kalau politik sudah masuk dalam universiti. Seharusnya Kerajaan PKR Selangor yang tidak pandai mentadbir tidak mencampuri urusan Unisel. Ini akan memberi kesan buruk kepada universiti. Perlukah semuanya hendak campur tangan?'' soal beliau.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, jika benar Kerajaan PKR Selangor atas kepentingan politik bertindak menekan Rosti sehingga memaksa beliau meletak jawatan, ia merupakan satu tindakan yang tidak profesional. ''Beliau (Rosti) adalah orang yang berpengalaman dan profesional. Kalau berlaku campur tangan politik oleh kerajaan negeri, mereka memang tak profesional.
''Kalau hendak membuang orang tanpa sebab, berkemungkinan ada masalah besar yang bersifat bukan pentadbiran. Saya tak tahu apa yang dimarahi sangat oleh kerajaan negeri,'' katanya.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm
(4 Aug 2011)
Arahan tidak ikut Peraturan'
Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
ainuddin.salehuden@utusan.com.my
SHAH ALAM 3 Ogos – Bekas Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Datuk Dr. Rosti Saruwono tidak menolak dakwaan kemungkinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan kuasanya untuk mengeluarkan arahan supaya beliau melucutkan jawatan tiga pegawai kanan universiti itu.
Menurutnya, secara teknikal, Abdul Khalid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengarah universiti mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan sedemikian kepadanya sebagai Naib Canselor.
“Saya menerima arahan untuk menurunkan jawatan ketiga-tiga individu tersebut tetapi saya tidak bersetuju kerana pada saya, ia perlu dibuat mengikut peraturan yang ditetapkan dan bukannya boleh dibuat sesuka hati. “Untuk menyelamatkan keadaan, saya berundur diri supaya pihak yang mempunyai kuasa itu dapat meneruskan hasrat mereka. Mudah-mudahan ia memudahkan kerja mereka dan sebab itulah saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini hari ini.
Rosti mengulas peletakan jawatannya semalam yang berkuat kuasa hari ini kerana dipercayai ada kaitan dengan tekanan politik daripada pentadbiran Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.
Rosti berkata, beliau tidak setuju untuk menurunkan pangkat ketiga-tiga individu terbabit kerana sepanjang berkhidmat bersamanya, mereka menjalankan tugas dengan baik dan tidak mempunyai sebarang masalah disiplin.
“Kita perlu menilai setiap pekerja daripada apa yang telah dicapai mereka dan saya tidak pernah ada sebarang masalah dengan ketiga-tiga individu ini serta tidak pernah menerima sebarang aduan mengenai mereka daripada pekerja lain, malah mereka sentiasa melaksanakan tugas dengan baik.
“Jika hendak tukar mereka ke jabatan lain sekali pun, ia mestilah bersebab. Jika seseorang itu tidak melaksanakan tugas yang baik atau dia boleh melaksanakan tugas yang lebih baik di tempat lain, itu kita boleh terima, tetapi sekiranya perkara itu berlaku secara mendadak dan tidak ada sebarang alasan kukuh, takut nanti orang salah anggap,” katanya.
Beliau percaya perkara tersebut perlu dibuat dengan adil bagi menjaga maruah pihak yang terbabit.
“Sebagai umat Islam kita kena hormat-menghormati di antara satu sama lain terutama pada bulan puasa ini,” jelasnya.
Rosti mula dilantik sebagai Naib Canselor Unisel pada 2 Mac 2009 bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd. Razali Agus yang mengosongkan jawatan itu pada Julai 2008.
Semasa baru dilantik, beliau berazam untuk tidak menjadi ‘pak turut’ kepada mana-mana pihak bagi memastikan institusi pengajian tinggi swasta itu tidak dijadikan medan berpolitik.
------------------------------------------------------------------------------------------------
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm
(4 Aug 2011)
Khalid tidak nafi politik punca Dr. Rosli letak jawatan
SHAH ALAM 3 Ogos - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menolak kemungkinan wujudnya tekanan politik dalaman sehingga menyebabkan Datuk Dr. Rosti Saruwono meletak jawatan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) berkuat kuasa hari ini.
Katanya, pihaknya sudah menjangka krisis tersebut akan berlaku dan telah bertindak menubuhkan sebuah pasukan petugas khas lebih awal dengan beberapa perbincangan dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.
Pasukan petugas khas tersebut katanya, dianggotai oleh tiga orang Ahli Lembaga Pengarah Unisel iaitu Datuk Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie yang merupakan bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM); bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Datuk Dr. Mohamed Ariffin Aton dan bekas Naib Canselor Unisel, Datuk Dr. Adnan Alias.
"Dalam mana-mana organisasi pun adalah politik dalaman dan kerajaan negeri telah menerima peletakan jawatan Rosti, kita tidak ada halangan sebab itu adalah keputusan beliau.
"Saya hendak beritahu pasukan petugas khas itu sudah mula berjalan dalam keadaan krisis yang kita jangka dan ia akan berterusan sehingga kita melantik naib canselor yang baru," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor di sini, hari ini.
Beliau mengulas keputusan Rosti meletak jawatan sebagai Naib Canselor Unisel dengan notis 24 jam berkuat kuasa hari ini dipercayai akibat tekanan politik dalaman dan pentadbiran Kerajaan PKR Selangor.
Rosti yang mengesahkan perkara itu semalam, berkata, keputusan itu dibuat berikutan beliau tidak sanggup melaksanakan tindakan terhadap tiga pegawai Unisel yang diarahkan dilucut jawatan.
Beliau yang berasal dari Klang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Bahagian Pendidikan Petronas dan Rektor pertama Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan dilantik sebagai Naib Canselor Unisel pada 2 Mac 2009 bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd. Razali Agus yang mengosongkan jawatan itu pada Julai 2008.
Difahamkan, tindakan Rosti itu sebagai 'membantah' keputusan pelucutan jawatan tiga orang pegawai iaitu Pendaftar, Rokmaa Mat; Dekan Fakulti Perniagaan, Prof. Dr. Khalifah Othman dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Halid Hasbullah yang dicadangkan dalam satu rumusan memorandum yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Siasatan Exco Kerajaan Negeri.
Memorandum itu disediakan dan ditandatangani oleh empat pegawai tertinggi lain di Unisel pada 16 Mei lalu terhadap tiga pegawai Unisel berkenaan atas tuduhan tertentu yang dipercayai membabitkan salah tadbir urus universiti itu.
Tuduhan yang disertakan dalam memorandum berkenaan turut melibatkan Rosti yang dicadangkan meletak jawatan dan digantikan dengan serta-merta.
Abdul Khalid berkata, kedudukan tiga pegawai kanan Unisel yang sebelum ini diarah dilucutkan jawatan juga diserahkan kepada pasukan petugas khas tersebut bagi membuat sebarang keputusan.
"Mesyuarat Exco hari ini telah dimaklumkan mengenai pasukan petugas khas itu dan mereka mempunyai kelulusan akademik yang bersesuaian untuk melihat pembangunan universiti.
"Ketiga-tiganya mempunyai pengalaman pentadbiran dari segi mengendalikan organisasi lebih besar daripada Unisel," katanya.