http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_18.htm
(11 Aug 2011)
RM19.4 juta untuk sekolah mubaligh di Sabah – Dr Puad
11/08/2011 4:12pm
KOTA KINABALU 11 Ogos – Sabah akan menerima RM19.4 juta daripada peruntukan khas RM70 juta untuk sekolah-sekolah mubaligh di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Wang itu adalah untuk 101 sekolah mubaligh di seluruh Sabah, di mana peruntukan bagi setiap sekolah berbeza bergantung permohonan dan keperluan masing-masing, katanya selepas menyampaikan cek bantuan tersebut masing-masingnya sebanyak RM50,000 kepada 12 buah sekolah mubaligh dalam daerah Kota Kinabalu di SM La Salle, sebuah daripada sekolah penerima itu, di sini hari ini.
Sekolah-sekolah ini adalah antara kumpulan pertama yang menerima peruntukan tersebut. Kini terdapat 441 sekolah mubaligh di seluruh negara.
Terdahulu dalam ucapannya, Puad berkata, kebiasaannya sekolah mubaligh yang tergolong dalam kategori sekolah bantuan kerajaan, diberi modal pembangunan dua tahun sekali berdasarkan permohonan yang dibuat, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepekaan beliau, telah memberi peruntukan khas RM70 juta untuk sekolah-sekolah mubaligh ini.
"Yang paling penting peruntukan ini mesti sampai secepat mungkin ke sekolah-sekolah tersebut untuk memastikan kecemerlangan pendidikan dapat ditingkatkan dari penambahbaikan kemudahan-kemudahan sekolah,” katanya. – Bernama
-----------------------------------------------------------------------------------------------
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_20.htm
(11 Aug 2011)
The Star dipanggil ekoran artikel lauk babi dalam sisipan Ramadan
11/08/2011 5:09pm
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kementerian Dalam Negeri telah memanggil Ketua Pengarang akhbar The Star kerana penyiaran artikel mengenai juadah Ramadan yang memuatkan gambar masakan daging khinzir.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, dalam sisipan semalam, akhbar itu telah menyiarkan artikel bertajuk ”Ramadan Delights” yang memuatkan gambar-gambar masakan daging babi serta artikel mengenai restoran tidak halal yang menyediakannya.
Katanya, KDN memanggil Ketua Pengarang akhbar berkenaan bagi menyatakan kesalahan akhbar itu berikutan tindakannya yang tidak sensitif kerana penyiaran artikel terbabit. "Kementerian memandang serius kesalahan itu terutamanya kerana sisipan bertajuk ”Ramadan Delights” itu merupakan ruangan khas bagi memberi panduan dan pilihan kepada umat Islam mengenai restoran untuk berbuka puasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata akhbar tersebut telah mengakui kesilapan dan akan menyiarkan kenyataan memohon maaf di atas perkara itu. - Bernama