Source:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tipu-caruman-kwsp-gabungan-pemandu-lori-serah-memorandum-1.438601
Tipu caruman KWSP: Gabungan Pemandu Lori serah memorandum
31 Januari 2017 12:15 PM
|
KUALA LUMPUR 31 Jan. - Gabungan Pemandu Lori hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai membantah tindakan majikan yang menipu dalam kiraan caruman pemandu.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Ketua Jabatan Penguatkuasaan KWSP, Hardial Singh Mitt Singh kira-kira pukul 11.15 pagi di Bangunan KWSP, Jalan Raja Laut di sini.
Penyelaras Gabungan Pemandu Lori, Mohana Rani berkata, kebanyakan pemandu lori kini berdepan masalah caruman KWSP yang kecil selepas di permainkan oleh majikan mereka.
Katanya, gaji rata-rata pemandu adalah berdasarkan komisen perjalanan dalam sebulan.
“Mengikut Akta KWSP, komisen dianggap sebagai gaji. Untuk mengelakkan majikan daripada mencarum, mereka menggunakan istilah lain seperti kerja lebih masa atau elaun perjalanan kerana kedua-duanya tidak boleh diambil untuk caruman.
“Pada masa sama, mereka memberi gaji pokok yang kecil kepada pemandu untuk caruman masing-masing. Ini menjejaskan simpanan KWSP pemandu-pemandu lori,” katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE