Source:
Juara Sinaran sanggup jadi ‘jaga’, tukang cuci
WAWANN MOHD FOTO: IZAIRI ROSLI
23 MAC 2018
Alina Hassan ketika program FB Live
Sinar Harian
SIAPA sangka bekas juara Sinaran Passport Kegemilangan (1996) dan finalis Kilauan Emas (2013), Alina Hassan, 51, melalui perjalanan yang sukar dalam kehidupannya selepas menghilangkan diri dalam bidang seni beberapa tahun lalu.
Dia yang pernah merakamkan dua buah album studio
dan popular menerusi lagu Dingin ini, mengakui melakukan pelbagai kerja untuk
menyara hidupnya selepas berpisah dengan bekas suami.
Mengetepikan status dirinya sebagai anak seni yang
dikenali, pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat membeli belah
Suria KLCC, sebelum beralih menjadi tukang cuci demi mencari rezeki.
“Saya berkahwin dulu, saya membuat keputusan untuk
meninggalkan bidang seni dan memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga.
Namun apakah daya jodoh bersama bekas suami tidak panjang dan kami berpisah.
“Saya cuba kembali menyanyi, tetapi bukan mudah
kerana saya dah lama tinggalkan bidang nyanyian lagipun tawaran pun tak selalu
ada. Kalau adapun bayarannya terlalu rendah, di mana saya pernah dibayar
sebanyak RM100 ketika menggantikan tempat orang.
“Jadi saya terpaksa memilih untuk melakukan kerja
lain yang mampu memberikan pendapatan tetap termasuklah menjadi jaga di KLCC
sebelum masuk program Kilauan Emas dan terkini sebagai tukang cuci,” kongsinya
jujur ketika sesi FB Sinar Harian baru-baru ini.
Menurut Alina, biarpun pada awalnya terdetik rasa malu untuknya melakukan pekerjaan tersebut, namun lama-kelamaan dia mula menyesuaikan diri.
Menurut Alina, biarpun pada awalnya terdetik rasa malu untuknya melakukan pekerjaan tersebut, namun lama-kelamaan dia mula menyesuaikan diri.
“Tak tahulah sama ada orang perasan atau tidak
ketika saya menjalankan kerja-kerja saya itu. Tapi kalau ada yang perasanpun,
saya tak ambil peduli kerana perlu survive untuk meneruskan kehidupan saya.
“Mulanya memanglah saya rasa kekok nak buat kerja
tu, tapi bila dah lama-lama saya boleh biasakan diri dan merasa puas hati
setiap kali dapat melunaskan tanggungjawab yang diberikan itu dengan sebaik
yang mungkin,” katanya.
Pun begitu, minatnya kepada bidang nyanyian tidak
pernah luntur, malah sentiasa mencari peluang untuk menyanyi dalam masa yang
sama.
Usaha itu akhirnya membawa Alina menyertai program
Mentor Otai dan kemudiannya terpilih menjadi protege Siti Sarah.
“Walaupun tahu keadaan saya sudah tidak sama
seperti dulu, tetapi apa salahnya saya mengambil peluang yang ada dan
alhamdulillah terpilih menjadi protege Sarah.
“Kalau ada rezeki menang, saya nak gunakan hadiah
kemenangan itu untuk beli sebuah van dan perkakas mencuci kerana saya nak
teruskan kerja mencuci tetapi dengan membuka syarikat saya sendiri pula nanti.
“Apa-apa pun, saya nak fokus kepada program Mentor
terlebih dulu dan cuba memberikan yang terbaik dengan bantuan dan bimbingan
daripada Sarah selaku mentor saya,” tegasnya.
.