SOURCE:
http://www.kosmo.com.my/negara/pelajar-cemerlang-tanpa-dokumen-ditawarkan-ke-uum-1.636233
Pelajar
cemerlang tanpa dokumen ditawarkan ke UUM
27 Mac 2018 7:24 PM
Roisah Abdullah. - Foto media sosial
SERDANG - Pelajar cemerlang tanpa dokumen kelahiran
dan pengenalan, Roisah Abdullah, ditawarkan untuk menyambung pelajaran ke
Universiti Utara Malaysia (UUM).
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh
berkata beliau telah bertemu Roisah, 20, bagi menawarkan peluang menyambung
pelajaran di UUM.
Menurut Idris, Roisah, yang turut menerima beberapa tawaran
belajar yang lain, gembira dengan tawaran yang diberikan kerajaan itu namun
meminta sedikit masa untuk membuat keputusan terbaik bagi dirinya.
"Selain
tawaran itu, kita juga akan memastikan pelajar cemerlang bukan berstatus
warganegara itu diberikan taraf kerakyatan untuk memudahkan proses
seterusnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program #Keeping
In Touch Wanita KPT Bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Universiti Putra
Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian
Pengajian Tinggi (KPT) Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur serta beberapa naib
canselor wanita universiti dan barisan kepimpinan tertinggi wanita di
kementerian tersebut.
Ketiadaan
dokumen kelahiran dan kad pengenalan menyebabkan Roisah, bekas penuntut Sekolah
Menengah Kebangsaan Sungai Kapar Indah, Klang tidak dapat melanjutkan pelajaran
ke peringkat lebih tinggi walaupun memperoleh 3A dan 1B dalam Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM), mencatat 7A dan 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) serta semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Ibu
Roisah merupakan warga asing manakala identiti bapanya tidak diketahui. Beliau
dibesarkan oleh seorang ibu angkat warga tempatan.