Source:
http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/pengacara-penerbit-didakwa-aibkan-watson-nyambek-1.490388
Pengacara, penerbit didakwa aibkan Watson Nyambek
AZIZUL AMMAR ABU HASSAN (tunduk, bertopi) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Sibu, semalam. – IHSAN SIN CHEW
07 Jun 2017 3:00 AM
SIBU 6 Jun
– Bekas pengacara rancangan Sukan Tak Sentral, Ammar dan penerbit rancangan itu
masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini
terhadap pertuduhan mengaibkan bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek, April
lalu.
Ammar atau nama sebenarnya, Azizul Ammar Abu Hassan, 30, dari Segambut, Kuala Lumpur dan Abdul Ghani Mohd. Mokhtar, 41, dari Petaling Jaya membuat pengakuan tersebut selepas selesai pertuduhan dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa
dengan sengaja mengaibkan Watson, 41, dengan niat hendak membangkitkan pecah
keamanan di Hotel Medan di sini kira-kira pukul 11.30 malam, 22 April lalu.
Mereka
didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara
sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Majistret
Saiful Sayoti membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,500
berserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 4 Julai
ini.
Akhbar
sebelum ini melaporkan, Watson yang terkenal dengan gelaran The Flying Dayak
membuat laporan polis pada 24 April lalu, terhadap Ammar yang mencetuskan
kontroversi apabila mempersendakan nama mendiang bapanya dalam rancangan
berkenaan di rangkaian televisyen swasta, TV3.
Menerusi
program ulangan yang disiarkan pada malam Sabtu, Ammar yang mengacarakan
program itu bersama Marsha Milan Londoh didakwa mempersendakan nama mendiang
bapa Watson dengan menyamakan dengan bunyi kambing.
Berikutan
laporan polis tersebut, Ammar bersama pengurusan Primeworks Studios Sdn. Bhd.
(PWS) diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Izham Omar telah
mengadakan pertemuan dengan Watson di Miri bagi memohon maaf secara terbuka.
Bagaimanapun,
Watson yang berasa amat tersinggung enggan menerima permohonan maaf tersebut
dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan
lanjut berhubung kes berkenaan.