Source:
http://www.kosmo.com.my/negara/terima-wang-hasil-aktiviti-haram-1.632517
Terima wang hasil aktiviti haram
Peguam hadapi 90 pertuduhan kes pembelian tanah berjumlah lebih RM9 juta
22 Mac 2018 3:00 AM
KUALA LUMPUR – Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 90 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM9 juta berhubung pembelian tanah tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh How Chee Hong, 50, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.
Mengikut pertuduhan pertama hingga 90, Chee Hong didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu dengan cara memindah, menerima dan menggunakan wang keseluruhan berjumlah RM9,056,134 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa-i CIMB Bank Bhd. milik firma guamannya Tetuan Kumar Jaspal Quah & Aishah.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB Bhd. cawangan Solaris Mont Kiara, di sini antara 10 Januari 2011 hingga 13 Januari 2012.
.