http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_04.htm
(29th Jan 2011)
Konstabel didakwa cuba buat tuduhan palsu
Konstabel didakwa cuba buat tuduhan palsu
PETALING JAYA 28 Jan. - Selepas menghadapi tuduhan mencederakan seorang ahli perniagaan, seorang konstabel hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dua tuduhan cuba mendatangkan bencana kepada mangsa dengan membuat tuduhan palsu terhadapnya.
Norzali Rosle, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua tuduhan tersebut dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Nor Afidah Idris. Terdahulu, sebelum pertuduhan dibacakan, peguam bela, Suraj Singh memohon waran tangkap yang dikeluarkan ke atas anak guamnya pada Rabu lalu dibatalkan kerana Norzali telah menyerah diri sebaik sahaja membaca mengenai 'kehilangannya' di akhbar.
Tertuduh sepatutnya dituduh di mahkamah pada hari tersebut tetapi pendakwaan tidak dapat diteruskan selepas anggota polis itu tidak hadir dan gagal dikesan oleh pihak berkuasa. Mengikut pertuduhan, dia didakwa hendak menyebabkan bencana ke atas Chia Buang Hing, 35, dengan membuat tuduhan palsu ke atasnya pukul 2.01 pagi, 19 Disember tahun lalu di Balai Polis Kota Damansara di sini.
Tuduhan-tuduhan palsu yang dikatakan hendak dikenakan ke atas ahli perniagaan tersebut adalah dakwaan memiliki heroin seberat 0.01 gram dan senjata berbahaya iaitu sebilah parang. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 211 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Mohamed Yusoff dan Izazi Muhamedin.
Nor Afidah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM2,200 beserta dua penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 14 Februari ini.
Pada 11 Januari lalu, Norzali bersama Mohd. Azwan Hassan, Ahmad Saifullah Osan dan Alizulhafiz Abdul Ghafar; kesemuanya berpangkat konstabel, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Buang Hing di balai polis yang sama di antara pukul 12.30 tengah malam dan 3 pagi, 19 Disember lalu.
Mohd. Azwan dan Norzali masing-masing turut menghadapi satu lagi pertuduhan yang sama terhadap mangsa tersebut di Jalan PJU 3/15, Persiaran Tropicana, Kota Damansara di sini pada pukul 11.30 malam antara 18 hingga 19 Disember tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau maksimum denda RM2,000 atau kedua-duanya. Ketua Balai Polis Kota Damansara, Lans Koperal Mahadi Adam turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengingkari arahan undang-undang mengikut Seksyen 20(3) Akta Polis 1967 kerana sebagai penjawat awam menyebabkan kecederaan terhadap Buang Hing. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Balai Polis Kota Damansara antara pukul 12.30 tengah malam dan 3 pagi, 19 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 166 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, Mahadi boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.
.