(14 April 2011)
Mahkamah BATAL Saman Ummi Hafilda
Mahkamah BATAL Saman Ummi Hafilda
KUALA LUMPUR 13 April – Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman RM100 juta yang dikemukakan oleh Ummi Hafilda Ali terhadap ahli perniagaan, Baginda Minda dan penerbit portal berita, Mkini Dotcom Sdn. Bhd. atas dakwaan menyiarkan artikel berunsur fitnah dan menjatuhkan maruahnya.
Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof memutuskan demikian setelah peguam kesemua pihak yang terlibat tidak hadir ketika pengurusan kes buat pertama kali didengar di kamar beliau.
Pada 17 Mac lalu, Ummi Hafilda, 43, selaku plaintif memfailkan saman terhadap Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda dan penerbit portal berita di Internet itu, Mkini Dotcom Sdn. Bhd. masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua. Dalam pernyataan tuntutan, Ummi Hafilda mendakwa, Baginda Minda telah memberikan kenyataan sindiran (innuendo) yang merujuk kepada dirinya pada sidang akhbar yang diadakan di lobi Bangunan Parlimen pada 15 Mac lalu.
Menurutnya, ayat-ayat fitnah yang diucapkan oleh Baginda Minda membawa maksud bahawa plaintif seorang ahli perniagaan yang terdesak untuk mendapatkan peluang perniagaan, seorang wanita yang tidak bermoral, tidak jujur, pembohong dan tidak boleh dipercayai.