http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm (13 Feb 2011)
Switzerland beku aset Mubarak
BERN 12 Feb. - Kerajaan Switzerland mengambil keputusan untuk membekukan aset-aset Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang mungkin disimpan di negara ini, kata Menteri Luarnya, Micheline Calmy-Rey, semalam.
Menteri itu berkata, satu arahan telah dikeluarkan untuk mengenal pasti dan membekukan sebarang aset milik Mubarak dan ahli keluarganya sejurus selepas Presiden Mesir itu meletakkan jawatannya, semalam.
Ia merupakan undang-undang sama yang dilaksanakan pada Januari lalu ke atas Presiden Tunisia, Zine el-Abidine Ben Ali yang digulingkan dan pemimpin Ivory Coast. Laurent Gbagbo.
Bern beberapa tahun ini melaksanakan undang-undang memudahkannya untuk memulangkan sebarang aset pemimpin yang korup kepada negara asal mereka, dengan syarat dana itu digunakan untuk kebajikan rakyat.
Harta Mubarak telah lama menimbulkan spekulasi. Menurut laporan media, Mubarak dan ahli keluarganya dipercayai memiliki aset bernilai lebih AS$40 bilion (RM124 bilion). Sesetengah laporan menyatakan Mubarak memiliki aset melebihi AS$70 bilion.
Menurut Swiss National Bank, deposit rakyat Mesir dalam akaun bank di negara ini berjumlah 3.6 bilion franc (RM11.47 bilion). - dpa
.