http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130811/dn_03/Kaji-semula-kursus-kahwin-elak-pasangan-mudah-bercerai (11 Aug 2013)
Kaji semula kursus kahwin elak pasangan mudah bercerai
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Pelaksanaan kursus perkahwinan perlu dikaji semula bagi memastikan pasangan yang bakal berkahwin lebih bersedia dan tabah mengharungi konflik rumahtangga.
Perunding Syariah dan Undang-Undang Keluarga Islam, Zainal Abidin Yahaya berkata, ini berikutan kursus disediakan kini kurang menepati keperluan serta ilmu pengetahuan tentang perkahwinan yang menyebabkan kes penceraian berleluasa.
Paling ketara katanya, pasangan Muslim gagal memahami erti serta tujuan perkahwinan yang merupakan fitrah dalam konteks agama Islam. ''Mereka tidak mempunyai daya ketahanan yang tinggi dalam menghadapi masalah rumahtangga selain didikan agama yang kurang menjadikan semangat mereka lemah.
''Sepatutnya, kursus perkahwinan membantu mereka mempersiapkan minda serta emosi dalam mengharungi alam rumahtangga untuk mengelakkan berlakunya penceraian,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam Bernama melaporkan terdapat purata tiga kes penceraian bagi setiap jam dalam kalangan pasangan Muslim di negara ini.
Menurut Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal, maklumat itu diperolehi daripada kajiannya terhadap statistik penceraian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) 2011. Katanya, secara purata, terdapat 70 kes penceraian dilaporkan sehari, 2,000 kes sebulan dan 25,000 kes setahun di seluruh negara.
Sementara itu, Pakar Perunding Keluarga, Wan Akashah Wan Abd. Hamid berpendapat, kajian tentang punca masalah pasangan Muslim negara ini perlu dilaksanakan segera bagi menangani kes penceraian yang semakin meningkat.
"Langkah ini penting memandangkan tekanan ekonomi serta sosial yang terpaksa dihadapi menyebabkan golongan tersebut melihat penceraian sebagai langkah mudah untuk menyelesaikan masalah mereka.
"Selain itu, penghayatan tentang keperluan perkahwinan serta tanggungjawab suami isteri perlu ditekankan dalam setiap individu yang berhasrat mendirikan rumahtangga,'' katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130811/dn_03/Kaji-semula-kursus-kahwin-elak-pasangan-mudah-bercerai#ixzz2bfocyoQN
Komen:
Selain tekanan ekonomi, masalah kekurangan didikan agama, pasangan muda ini juga terdedah kpd fenomena kebebesan sosial, seperti, free-thinking, sekuralisme, materialisme iaitu fahaman yang mementingkan kebendaan/kemewahan semata-mata, dan hedonisme iaitu fahaman yang mementingkan keseronokan, kecantikan, semata-mata - dan pendedahan kpd media/filem Barat serta drama Melayu (yg dipengaruhi oleh idea Barat, yang mementingkan materialisme dan hedonisme).
Patutlah pening-lalat kementerian tertentu di dlm mengatasi masalah perceraian di kalangan umat Islam masa kini. Polisi mana lagi yg tak betul-cukup, program apa lagi yang tak betul-cukup ?! Pun begitu, sesuatu PERLU dilakukan dgn kadar segera utk mengatasi masalah tersebut !