Source:
http://m.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/murid-guru-bersatu-atas-pelamin-1.89487
Murid, guru bersatu atas pelamin
Saya memang tak suka dia, lebih-lebih lagi apabila melihat wajahnya yang garang dan susah sangat mahu tersenyum,'' luah pengasas produk kecantikan, Syma Beauty Skincare, Siti Norhasyimah Azmi, 21, sambil tertawa ketika menyusuri semula jejak-jejak pertemuan dengan suami yang dinikahinya pada 30 Mei tahun lalu.
Menyambung cerita, Siti Norhasyimah yang mesra dipanggil Syima memberitahu, meskipun berperwatakan serius, guru bahasa Inggeris yang mengajar di pusat tuisyen di Kota Bahru, Kelantan itu berperangai agak pelik apabila selalu menawarkan nota tambahan untuknya.
Bagaimanapun anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, apa yang menyakitkan hatinya, guru yang bernama Nik Muhammad Amin Nik Mohamed, 28, itu memberi syarat, dia terlebih dahulu perlu mengambil tuisyen secara peribadi dengannya jika mahu nota berkenaan.
Syima berkata, akibat meluat dan jengkel dengan tingkah laku guru tersebut, pelawaan lelaki itu langsung tidak diendahkannya sehinggalah dia selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hampir setahun kemudian.
“Masa belajar itu, saya memang langsung tak layan dia. Saya tak suka tengok muka dia yang serius sangat ketika mengajar dan suka memberi kerja rumah yang banyak.
“Namun, segalanya berubah setelah saya tamat SPM dan menghubunginya kerana mahu mendapat pandangan mengenai tempat yang sesuai untuk menyambung belajar. Rupa-rupanya dia memang sudah lama mencari nombor telefon saya.
“Panggilan saya itu seolah-olah menyambung kembali hubungan antara ‘guru dan murid’ yang sudah putus beberapa bulan itu,” kata Syima yang sedang sarat mengandung tujuh bulan.
Ahli perniagaan muda itu berkata, sejak detik itu, Nik Muhammad Amin sering menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya, namun ketika itu hatinya masih belum terbuka untuk lelaki tersebut yang saban hari berusaha untuk memenangi hatinya.
“Mungkin ego kot. Saya memang malas nak layan. Berpuluh SMS dihantarnya dalam sehari, satu sahaja yang saya jawab. Itupun sekadar jawab sahaja. Perkara itu berlarutan beberapa bulan sehinggalah saya diterima masuk ke Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu, Kelantan dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak pada 2012.
“Ketika itu, hubungan kami makin akrab dan saya juga telah menerimanya sebagai abang angkat.
“Daripada sekadar hanya abang angkat, hubungan ini semakin ‘terangkat’ sehinggalah kami mengambil keputusan untuk bertunang dalam usia saya baru mencecah 19 tahun,” cerita Syima sambil ketawa.
Menceritakan apa yang menyebabkan dia akhirnya rela disunting lelaki itu, Syima berkata, Nik Muhammad Amin sangat pandai mengambil hatinya selain berfikiran matang dan menjadi pendorong utama dalam setiap apa yang dilakukannya.
Tambah Syima, lebih manis, percintaan mereka mendapat restu keluarga masing-masing dan perkara itu memudahkan perjalanan cinta mereka yang berakhir di jenjang pelamin pada 30 Mei 2014 setelah mengikat tali pertunangan selama setahun.
“Dalam masyarakat kita hari ini, tidak ramai yang memilih untuk melaksanakan perkahwinan dalam usia yang muda kerana pada mereka, usia sebegitu seringkali dianggap sebagai belum cukup dewasa atau matang bagi memenuhi tuntutan dalam perkahwinan.
“Namun ia bukanlah satu masalah yang tidak boleh diselesaikan. Jika kedua-duanya memainkan peranan masing-masing dan saling menyokong antara satu dengan lain, semua itu akan dapat dilalui secara semula jadi dan proses kematangan itu akan datang selepas berkahwin," jelas Syima yang cukup cekap memasak asam pedas yang menjadi lauk kegemaran Nik Muhammad Amin yang kini bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di Kota Bahru.
Syima memberitahu, pada waktu senggang, pasangan itu yang bakal menimang cahaya mata pertama pada bulan ini sangat gemar melancong dan antara tempat yang telah dilawati termasuklah Paris, London dan Switzerland.
“Sehingga kini kami masih lagi dalam ‘mood’ bulan madu dan percutian ini sedikit sebanyak mengeratkan lagi hubungan kami suami isteri,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penglibatannya dalam industri kecantikan di negara ini, Syima berkata, hasil dorongan suaminya, dua bulan selepas mereka bernikah, dia memberanikan diri menghasilkan produk kecantikan sendiri di bawah jenama Syma Beauty Skincare yang kini meniti di bibir wanita negara ini.
Siapa sangka dalam usia semuda itu, Syima kini boleh berbangga dengan pencapaian produknya yang bukan sahaja mendapat tempat dalam kalangan wanita di negara ini, malah melangkaui negara luar termasuk India, Singapura dan Indonesia.
“Idea mengkomersialkan produk warisan keluarga ini bermula selepas saya mengalami masalah kulit yang teruk selepas menggunakan produk kecantikan yang dibeli melalui internet.
“Bimbang dengan keadaan wajah saya itu, ibu memberikan produk yang dihasilkannya sendiri untuk saya pakai dan akhirnya ia bukan sahaja menyembuhkan kulit muka saya seperti sedia kala, malah menjadikan kulit wajah saya lebih cantik.
“Perubahan itu disedari rakan-rakan dan ramai yang bertanya mengenainya sehinggalah saya terfikir untuk mengkomersialkan produk tersebut bagi membantu mereka yang mempunyai masalah yang sama,” katanya.
.