SOURCE:
http://www.kosmo.com.my/terkini/rm2-6-bilion-diterima-najib-kini-tertakluk-pemeriksaan-lanjut-lhdn-1.687482
RM2.6 bilion diterima Najib kini tertakluk pemeriksaan lanjut - LHDN
07 Jun 2018 8:53 PM
Sabin Samitah
PUTRAJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, RM2.6 bilion yang diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini tertakluk kepada pemeriksaan lanjut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, susulan pendedahan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull dan siasatan yang sedang dijalankan berhubung semua isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kedudukan cukai bagi wang RM2.6 bilion yang diputuskan pada 16 Februari 2016 itu kini tertakluk untuk pemeriksaan.
Pada 16 Februari 2016, berdasarkan pada dapatan dibuat oleh agensi itu yang ditugaskan untuk menyiasat wang berkenaan, amaun yang diterima didapati adalah bayaran derma serta bersifat sukarela dan dengan itu bukan bercirikan pendapatan, katanya.
Oleh itu katanya, mengikut prinsip am percukaian berhubung pembayaran secara sukarela seumpama itu, ia bukan pendapatan yang tertakluk untuk dicukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
"Pembayaran secara sukarela mungkin berubah cirinya dan tertakluk dicukai jika ia diberikan secara berulang kali, sebagai pertimbangan bagi perkhidmatan diberikan, sebagai balasan bagi sebarang faedah dalam apa-apa bentuk atau amaun digunakan dalam kegiatan perniagaan bagi membolehkan operasi perniagaan diteruskan," katanya dalam kenyataan hari ini susulan perkembangan terbaru berhubung RM2.6 bilion yang diterima Najib serta wang tunai dan barangan berharga lain yang dirampas dari kediamannya dan premis lain baru-baru ini. - Bernama
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
http://www.kosmo.com.my/negara/tiada-pendakwaan-terpilih-1.686922
Tiada pendakwaan terpilih
Tommy Thomas tumpu prosiding kes 1MDB, mansuh undang-undang menindas
07 Jun 2018 3:00 AM
Tommy (depan) tiba di pejabat Jabatan Peguam Negara di Putrajaya semalam untuk melapor diri dan memulakan tugas sebagai Peguam Negara.
PUTRAJAYA – Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas menegaskan beliau tidak akan mengamalkan pendakwaan secara terpilih sepanjang mengendalikan tugasnya itu.
Tegas beliau, sesiapa saja yang melanggar undang-undang akan menerima hukuman.
“Saya berjanji akan melakukan tindakan yang betul, adil dan saksama,” katanya kepada pemberita di lobi pejabat Jabatan Peguam Negara di sini semalam.
Tommy berkata, beliau menggariskan tiga fokus utama dalam perkhidmatannya termasuk siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development (1MDB).
“Saya perlu mengkaji kertas siasatan skandal berkenaan terlebih dahulu. Kita akan melaksanakan prosiding jenayah dan sivil di mahkamah terhadap mereka yang didakwa melakukan kesalahan.
“Semuanya sama rata di sisi undang-undang dan tidak ada sesiapa yang akan tertinggal dan dilindungi,” katanya.
.