http://www.hmetro.com.my/node/121905#foto
Terpancing ikan hodoh
Tungku: Seorang nelayan terkejut apabila mata kail dilemparkan ketika memancing dimamah sejenis ikan pelik memiliki rupa hodoh seakan-akan raksasa selain bergigi taring seperti piranha.
Menurut Mohd Japar Asan, 50, hasil tangkapannya kali ini begitu mengejutkan kerana kali pertama menemui ikan berkenaan ketika memancing di perairan Bohiyan di sini, berhampiran Pulau Gaya.
“Saya bersama seorang lagi rakan bergerak ke perairan itu kira-kira jam 10 pagi untuk memancing. Tidak lama kemudian, umpan saya mengena dan ketika menarik pancing untuk melihat hasil tangkapan terkejut melihat spesies ikan sangat hodoh dengan wajah menakutkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mundas Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Tungku, kelmarin.
Katanya, rakannya juga mengalami situasi sama apabila umpannya turut dimakan spesies sama.
“Ini kali pertama saya melihat ikan jenis itu dan tidak pernah menemuinya sepanjang memancing di sekitar perairan itu sejak 40 tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, sebaik memperoleh tiga ikan sama, dia dan rakannya mengambil keputusan pulang berikutan bimbang berlaku perkara buruk.
“Ini kali pertama saya memancing ikan berbentuk raksasa dengan gigi taring yang menakutkan.
“Ikan itu dibawa pulang dan diserahkan kepada rakan kerana tidak berani memakannya,” katanya.
Katanya, ketika ke laut tengah hari semalam, dia turut memperoleh ikan sama sebanyak empat ekor.
“Saya sangka spesies ini hanya singgah sebentar ke kawasan ini, tetapi meleset apabila memperoleh ikan sama ketika memancing pagi tadi (semalam).
“Tiga ekor ikan itu saya berikan kepada jiran manakala seekor lagi disimpan di rumah,” katanya.
Jiran Mohd Japar, Habiburahman Datu Jamaluddin, 35, berkata, dia ada menyimpan seekor ikan dipancing lelaki berkenaan kerana jarang ditemui selain rupanya yang pelik.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 7:05 AM
.