Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, institusi perbankan ketika ini diberikan kebebasan sewenang-wenangnya memberikan pinjaman termasuk peribadi, kenderaan dan kad kredit tanpa kawalan.
Natijahnya, kata beliau, peminjam atau pemegang kad kredit terbeban dengan jumlah hutang yang tinggi sehingga menyebabkan mereka diisytiharkan bankrap.
“Sistem kewangan dan perbankan di negara ini perlu dilihat semula secara menyeluruh termasuklah memperketatkan syarat pinjaman dan kad kredit kerana mereka dilihat memberikan pinjaman dan kad kredit secara semberono sehingga menyebabkan peminjam bankrap.
“Hari ini sistem menjahanamkan ekonomi kita. Pihak perbankan serta institusi kewangan tidak memikirkan penyelesaian kreatif bagi mengelakkan peminjam daripada muflis dan dari sinilah punca segala masalah itu berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri Jumaat lalu memberitahu, sebanyak 276,753 individu membabitkan mereka yang berumur 25 hingga 44 tahun diisytiharkan bankrap sehingga Disember 2015.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, hanya 46,109 individu muflis telah mendapat pelepasan dan pembatalan bankrap melalui mahkamah bagi tempoh yang sama.
Katanya, punca utama menyebabkan kes bankrap berlaku adalah gagal menjelaskan bayaran sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, pinjaman peribadi, kad kredit dan pinjaman perniagaan.
Dalam pada itu, Amir Hussin berkata, pihak berwajib termasuk Bank Negara, Kementerian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) perlu duduk semeja memikirkan jalan terbaik dalam menambah baik sistem kewangan, institusi perbankan dan pengurusan individu bankrap.
Selain itu, kata beliau, individu yang berdepan tindakan diisytiharkan muflis oleh mahkamah perlu diberikan ruang untuk mempertahankan diri serta menjelaskan punca mengapa dia gagal membayar hutang.
“Institusi perbankan sepatutnya tidak memberikan alasan lapuk bahawa peminjam sudah berpindah dan bertukar alamat tanpa pengetahuan mereka. Sepatutnya, mereka perlu mengambil masa untuk mencari peminjam dan bukannya terus menghadapkan mereka ke mahkamah tanpa sebarang makluman.
“Inilah kelemahan yang jelas dalam sistem perbankan dan kewangan negara hari ini. Kita perlukan penyelesaian yang konkrit supaya sistem kewangan dan perbankan negara tidak goyah. Kalau ramai individu khususnya orang muda muflis, bagaimana negara pada masa depan?” tegas beliau