Source:
http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/turki-diserang-lagi-empat-terkorban-1.202449
Turki diserang lagi, empat terkorban
20 Mac 2016 12:31 AM
ISTANBUL 19 Mac – Turki terus menjadi sasaran serangan berdarah, selepas sekurang-kurangnya empat orang lagi terkorban, manakala tujuh yang lain cedera dalam satu serangan berani mati terbaharu, hari ini di pusat membeli belah terkenal di ibu negara ini, serangan bom kali keempat pada tahun ini.
Letupan tersebut berlaku di Jalan Istiklal, laluan pejalan kaki yang dipenuhi dengan kedai-kedai berjenama antarabangsa dan pusat membeli belah, hanya beberapa ratus meter dari kawasan meletak bas oleh pasukan polis.
Pasukan keselamatan menutup jalan utama di kawasan utama membeli belah tersebut di mana berpuluh-puluh ambulans dikerah ke kawasan tersebut.
Pasukan forensik turut bergegas ke lokasi kejadian bagi mencari bukti.
Jalan Istiklal biasanya dipenuhi orang ramai pada hujung minggu tetapi kurang mendapat sambutan sejak akhir-akhir ini berikutan kejadian serangan awal bulan ini.
Awal bulan ini, seorang penyerang berani mati meletupkan dirinya bersama-sama kenderaan yang dipandunya di Ankara dan mengorbankan 37 orang.
Bulan lalu, penyerang berani mati meletupkan diri dan mengorbankan 29 orang. Militan Kurdis mengaku bertanggungjawab terhadap kedua-dua serangan tersebut.
Januari lalu, seorang pengebom berani mati membunuh 10 orang penduduk yang kebanyakan mereka terdiri daripada pelancong Jerman di satu kawasan bersejarah. – REUTERS
----------------------------------------------------------------------------------------------------
http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kota-jakarta-dibom-7-maut-1.179711
Kota Jakarta dibom, 7 maut
15 Januari 2016 12:36 AM
Pasukan keselamatan Indonesia berkawal di tempat kejadian dengan satu mayat mangsa yang terbunuh dalam serangan di Jakarta semalam dimasukkan ke dalam beg mayat di luar pondok polis lalu lintas di Jalan Thamrin, Jakarta. - AFP
JAKARTA 14 Jan. - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam beberapa serangan bom dan tembakan di ibu negara Indonesia, hari ini yang menjadikan sebuah kedai minuman kopi terkemuka Starbucks yang terletak di sebuah gedung beli-belah, Sarinah Mall di tengah kota sebagai sasaran.
Serangan itu menggemparkan daerah yang menempatkan kedutaan-kedutaan negara asing termasuk pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Drama berdarah selama enam jam 10 minit itu bermula pada pukul 10.45 pagi waktu tempatan (11.45 pagi waktu Malaysia). Polis berkata, dua daripada yang terbunuh dipercayai penyerang berani mati yang bertindak meletupkan diri mereka. Jmlah mangsa yang cedera masih belum dapati dipastikan.
Polis pada mula menyatakan sekurang-kurangnya lima penyerang bersenjata, lima anggota polis dan tujuh orang awam terbunuh dalam serangan berkenaan, lapor al-Jazeera, bagaimanapun polis kemudian menurunkan angka kematian kepada tujuh orang termasuk lima penyerang. Sebanyak enam letupan berlaku selang 50 meter antara satu sama lain di daerah berkenaan. Sejumlah penyerang dilaporkan terlibat dalam serangan tersebut.
Menurut saksi, sebuah pos polis turut menjadi sasaran serangan yang menyaksikan empat mayat bergelimpangan di jalan raya. Laporan awal menyatakan seorang rakyat Belanda terbunuh dalam serangan tersebut, namun media Belanda kemudian melaporkan dia mengalami cedera teruk.
Wartawan al-Jazeera di Jakarta, Step Veassen melaporkan, pos polis tersebut musnah apabila sebutir bom tangan dilemparkan dan bunyi tembakan boleh didengar di pusat bandar raya ini.
“Enam lelaki bersenjatakan raifal menaiki motosikal melepaskan tembakan ke arah orang ramai. Seorang daripada penyerang menembak seorang pegawai polis dari jarak dekat,” katanya. Beliau berkata, polis masih menyiasat kejadian itu yang dipercayai didalangi kumpulan militan Negara Islam (IS).
Seorang saki yang berada di dalam sebuah bangunan semasa serangan bermula, Ruli Koestaman, 32 berkata, dia mendengar bunyi letupan kuat seperti gempa bumi. “Apabila kami turun ke bawah, kami melihat kedai Starbucks musnah. Saya melihat seorang lelaki Barat cedera di tangan tetapi dia masih hidup.
“Seorang pekerja Starbucks berlari keluar dari kedai itu dengan darah keluar dari telinganya. Saya bertanya sama ada, ada orang cedera di dalam..., dia menjawab ya. Seorang sudah mati,” katanya. Ruli berkata, apabila semua orang berkumpul, muncul seorang lelaki bersenjata yang mula melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan kedai Starbucks dan kemudian pos polis meletup. – Agensi/AFP/Reuters